
lihat caramu mengejar waktu
berselisih dengan kamera kehidupan
dari satu penantian ke penantian yang makin mengecil
usia dan pengalaman
dari pekan entah kepada pekan tahu
dari bandar bising ke bandar sepi
dari negeri ramai ke negeri seorang diri
dari tol murah ke tol kecewa
matlamat begitu murni
menyampaikan berita, semangat dan cerita
kau tahu gerakmu nyata
membawa mimpi penumpang muda
mengheret mereka ke dunia bukan sesiapa punya
yang mencatat harinya dengan separuh keyakinan
dalam buku catat selalu bertambah muka suratnya
menziarahi dirinya sendiri
yang bangga kerana menjadi anak kepada
negaranya telah bebas dari suara malam ngeri
penjajahan, pengelutan dan ketundukan
sampai waktu, kau dengan aku belum benar-benar tahu
mana destinasi dan siapa penumpangmu selepas aku
apakah mereka akan berbicara dengan sendiri seperti aku
kantuk mereka yang kau bawa dengan insuran
dan tiada jaminan dan kepastian ketika kau memecut takdir ini
dalam tiap ketika ,kau terikat dengan pusingan tayar
yang laju dan kerap menyanyi
bersama masa, tarikh dan platform yang
tiap kali menjemukan aku sebagai orang yang memerlukan
langkah semu dari hari-hari yang berlalu
katakanlah semua bukit, hutan dan gaung di tepi highway ini
bukan cabaran sebenar bagimu
aku bukan seorang penumpang yang leka dengan angan masa depan
kerana pencarian ini selalu menyinggung perancangan
orang muda sepertiku atau seorang tua
fahamilah diriku. jangan asyik memaksa aku untuk terus
berkhayal sebelum tiba ke destinasi.