21.9.07

Kota Pencarian




12 jam di KeeL


Dengan tiba-tiba keinginan merengkuh diri, memaksa untuk disisi kehendak yang belum tertunai. Aku sendiri tidak faham diriku pada hari itu. bukan semua keadaan, keputusan itu daripada kita. Dan bukan semua yang dilakukan, dipenuhi oleh hasrat sendiri.

Pada petang itu juga aku pergi mendapatkan tiket hari Sabtu iaitu esok. Bertolak daripada bandar Teluk Intan menjajat ke Kuala Lumpur.

Sebetulnya berpapasan ke KeeL bukan satu kegemaranku. Aku tidak bercakap tentang apa yang saudara lihat. Kerana cara kita melihat dan apa yang dapat dilihat kadang-kadang terlalu subjektif dan menjadikan kita saling tidak menemui titik kesatuan yang sepadu. Di KeeL saja sudah ada banyak manusia dan berbilang-bilang bangsa. Aku mengetahuinya kerana ia bakal menjadi bahan yang akan kuceritakan, mungkin separa hakiki tentang pengalaman yang kudapati. Kau mampu memahaminya atau tidak. Bila aku sampai di KeeL aku sentiasa rasakan kecacamarbaannya. Entahlah…

Tapi apabila aku sampai di KeeL perasaan mula berubah. Aku lihat di sebalik kesibukan itu ada manusia yang berusaha untuk mengejar masa. Di sebalik cacamarba itu ada banyak cerita yang kadang-kadang berlalu hanya sekali dan tak mungkin berulang. Di bawah panas terik itu, puluh ribu manusia bergerak dengan haluan masing-masing membawa banyak jadual yang dirancang serta tidak terancang.

Aku tiba di KeeL dengan satu kemahuan di samping satu penolakan. Kemahuan kerana ingin melarikan diri dari sebuah kota sunyi kepada kota yang menjanjikan pengalaman baharu. Penolakanku aku tidak mahu bergelut dan tergesa-gesa mengikut arus manusia yang tidak seragam dan kelihatan padat setip sudutnya.

Di sini saudara boleh lihat sendiri, lorong-lorong yang dipenuhi orang. Celah-celah bangunan disempitkan gerai makanan atau kedai barangan. Kenderaan bersusun atau berselerak dan terkadang berterabur menyesakkan ruang. Jika di hari minggu, jalan berdekatan dengan Pudu Raya atau Masjid India sentiasa diselenggara oleh pelbagai bangsa manusia. Entah bila ruang-ruang ini sunyi dan diam.

Adakah perjalanan kali ini tidak memuaskan lansung?. Aku mula menyoal sendiri. Ia satu penolakan yang tersirat aku kira. Aku terpaksa bertahan untuk ke tempat yang berisiko ini. Demi mencapai maksudku. Maka aku bertolak dengan bas TranRasional, ternyata selesa tapi tidak ada teman untuk bersembang sepanjang perjalanan. Betapa semunya perjalanan selama dua jam setengah itu dipenuhi belon-belon bosan. Sendirian selalu mengubah pandangan dan dengan sendirian lebih banyak masa untuk melakukan dan memikirkan sesuatu yang dikirakan perlu pada usia sebegini.
Ayuh, selepas kita akan beralih kepada satu sesi kepada sei yang lain. Sama ada ia berkait dengan kiat atau tidak saya sendiri tidak pasti.

Aku tiba di Puduraya jam 10.30 pagi dan berjalan kaki mencari stesen LRT untuk pergi KLCC. Sebuah tempat yang kubenci kerana di sini tidak lebih hanya dapat melihat, mencuci mata dan mengiyakan pandangan pada orang yang datang, kedai-kedai, harga-harga barang dan suasana.

KLCC tidak menawarkan pemandangan yang selasa. Meskipun inilah destinasi pertamaku yang terpaksa kutuju, semua bayangan dibuat tidak acuh. Aku sampai depan sebuah kedai buku besar yang berasal daripada Jepun selepas mengharungi kedai roti tingkat G. Memasuki kedai buku besar ini umpama memasuki blok-blok tersusun di sana sini. Sebuah blok yang mendukung blok yang lain kemudian dihuni 70 peratus oleh buku-buku pelbagai bidang. Di sinilah sebahagian pengetahuan dan maklumat ditukartangan dengan cara yang munasabah. Pokoknya wang dan kemahuan.

Aku berada di sini untuk mencari buku yang dikira boleh dan mampu kubeli. Rak-raknya memang menarik dan teratur rapi. Di pintu masuk selain pengawal, terdapat buku-buku baharu.

Ternyata bukan semua buku baharu mesti dibaca. Istilah baharu itu pada sebuah buku sebenarnya jarang memberi nilai popularity berbanding buku lama yang diterbitkan. Berdasarkan pengalamanku, buku baharu tidak semesti baik untuk dibaca. Maka membaca buku baharu, kadang-kadang satu kekurangan. Mungkin kurangnya pada nikmat membaca atau terlalu ‘segera’ isinya untuk dihayati. Mungkin juga kerana kurang memberikan imaginasi yang mendalam dan tidak mampu memberikan pengalaman yang nyata kepada pembaca. Ah, membaca bukan sekadar memberikan maklumat tetapi satu pengkongsian yang aktif. Orang sudah lupa bahawa membaca satu proses mencapai katarsis dan menpertemukan ruh-ruh yang jauh di sudut yang berbeza.
Entahlah.

Terfikir juga lebih baik buku-buku baharu dibaca kemudian. Dibiarkan dahulu berada dalam tempoh yang sesuai. Membiarkan ia menghablurkan sebentar segala keresahan penulisnya dalam waktu yang ada. Mungkin cara itu pembaca akan dapat dimesrakan.
Biarkanlah buku yang baharu itu menjadi sedikit lama. Di sini semua orang menjadi tidak mengenal diri orang lain malah diri sendiri. Kuperhatiian seorang perempuan dalam usia 20-an berjauhan daripada pakwenya kerana asyik merenung rak buku. ia semacam sikap yang dibuat-buat. Ada juga seorang lelaki tua yang berjalan-jalan dari satu ke tempat lain semata-mata untuk melihat, menonong atau berkhayal.
Ada juga yang datang hanya melihat buku daripada kedai buku ini dari luar cerminnya. Barangkali dia memikirkan luaran berbanding dalaman. Mungkin seni sebuah kedai buku bukan semata-mata pada dalamannya.

Suasana di sini macam perpustakaan. Aku benci dengan suasana sebegini, kerana kedai buku biasanya sering kedengaran suara bising, orang bercakap dan suara-suara orang bertanyakan pasal sesebuah buku. Mungkin sifat pengemar buku yang senyap bila berada di perpustakaan dibawa ke mari. Sifat orang-orang sunyi membaca buku orang lain. Cerita orang yang ghairah dalam pencarian.
Kau tahu ini semua palsu dan aneh. Dunia buku dan orang-orang dalamnya mesti bising dan seharusnya bercakap, heboh macam JomHeboh yang dibuat oleh TV3 dari satu negeri melarat ke negeri yang lain. Bagaimana sebuah gedung peradaban boleh membuatkan orang-orang dalamnya senyap dan sepi. Malah mungkin membiaakan merek amenjadi bisu. Entah;ah.

Maka tindakan secara sepontan cuba mengelak kebisuan ini. Aku cuba bercakap sendirian, bersiul-siul dan membaca pesanan ringkas dalam telefon bimbitku dengan nada yang tinggi. Hasilnya memang mengejutkan, semua memandang ke arahku dan berasa pelik agaknya dengan gelagatku. Padaku pandangan itulah yag aneh kerana dunia buku mesti bercakap dan dihebohkan, lebih heboh daripada Jom Heboh.
Selepas itu keadaan menjadi bisa seperti sediakala. Keadaan kembali sunyi. Aku kira ini satu masalah zaman juga agaknya. Dari rak buku business, self enchment aku pergi ke bahagian sastera. Ia tempat paling banyak aku lawati. Ia tempat aku berdiri paling lama, berulang-ulang dari rak pertama ke rak yang terakhir beberapa kali. Kadang bertinggung dan apabila terlalu malas aku duduk di anak tangga yang ada dua itu. Tempat buku yang dipamerkan khas buku cerita ada di tengah-tengahnya, bersama diskaun yang tidak menarik minatku.

Antara sebabnya aku kekurangan belanja untuk itu. Malah aku ada buku-buku tertentu yang telah aku siap senaraikan. Dua jam kemudian, selesai memilih dan membeli aku bergegas keluar melihat jam di tangan menunjukkan pukul 1.00 tengahari lebih.
Ku tinggalkan mimpi dan rasa sedih kerana banyak buku dan tidak sempat untuk melihat-lihat buku-buku yang lain. Malah ongkos juga tidak mengizinkan.Destinasi keduaku adalah KL Sentral. Ketika menaiki LRT aku cuba membelek buku yang baru dibeli. Seorang lelaki duduk sebelah menegur.

“Itukah Abbas Kiarostami daripada Iran” tanyanya.
Aku kurang mendengar suaranya. Dia mengulangi soalan sambil menunjukkan kepada buku yang kupegang.
“Ya. Seorang pengarah filem Iran ” jawabku pantas.
“Saya ada menonton beberapa filemnya”.
“Beliau seorang pengarah filem yang terkenal dan mendapat anugerah di peringkat antarabangsa” kusebutkan beberapa nama pengarah-pengarah lain daripada Iran yang baru saja mendapat perhatianku. Dia mendengar informasiku dengan teliti. Dia senyum mungkin juga ada sesuatu yang difikirkannya.
“Bagaimana saudara mengenal mereka?”.
“Saya mengetahui melalui internet. Malah ada filem mereka yang saya tengok dari internet”, jelasku dengan bersahaja.
“Boleh saya tahu, saudara dari mana”.
Dia sepi setika sebelum memberikan jawapan.
“Saya dari Iran”.
“Siapa nama saudara?” dia bertanya.

Aku memberitahu namaku dan kami bersalaman. Aku seperti tidak percaya dengan situasi yang berlaku. Apabila aku bercerita kepada seseorang yang ternyata di lebih arif, terasa seganpun ada. Entah bagaimana aku juga bertanya namanya. Namanya Masu. Dalam LRT berdengung pengumuman destinasi seterusnya iaitu KL Sentral. Aku dan Masu sempat mengucapkan selamat tinggal dan tidak sempat untuk berbicara setelah itu.

Di stesen KeeL Sentral ini, tidak berapa sesak. Macam hari-hari biasa agaknya. Aku cepat-cepat menuju ke kaunter tiket Komuter dan berbaris. Apabila sampai di sini aku mengambil untuk merrenung keadaan di sini dan manusia yang bertaburan di sana sini. Giliranku sampai, setelah membeli tiket dengan harga RM 2.00 aku bersegera bergegas melihat terminal komuter, melalui dan terus saja menuruni tangga. Komuter membawaku ke destinasi seterusnya iaitu Mid Valley.

Aku dapat rasakan perjalanan ini hanya berpusing-pusing dalam satu bulatan. Kehendak untuk sampai ke tempat lain nyata tidak kuat dalam hati. Aku terus sahaja ke MPH dan kedai video & muzik Speedy.
Pencarian belum memuaskan. Namun beberapa perkara berjaya aku dapati di sini. Daripada MidValley aku bergegas ke Stesen Central Market dan menapak ke Jalan Petaling.

Di sini serba serbi ada barangkali. Di sini ada batu-batuan besar yang dihuni oleh manusia bandar atau kota. Perkataan lain daripada kota atau bandar dalam bahasa Arab ialah hadhari. Kalau saudara buku kita Al-Mukaddimah mungkin akan temui perkataan hadhari atau hudri berulang-ulang kali.
Gambaran abad ke-21, ternyata dibayangikan oleh Ibn Khaldun lewat karya besarnya itu. Ibn Khaldun merenung fenomena ini dari pelbagai sudut sebagai seorang sosiologis, sejarawan, ilmuawan malah seorang negarawan.
Di Jalan Petaling tidak kurang ertinya jika hendak mengurai persoalan hadhari itu, maksudku dari segi pembangunan yang ada. Dari pangkal ke hujungnya, berjejeran gerai yang mempertemukan manusia anatara manusia.

Aku lihat sambil berfikir dan kadang-kadang terbawa-bawa dengan gaya orang yang berada disini. Sebenarnya sudah agak lama aku tidak berjalan ke mari. Tetapi keinginanku yang emdesak entah untuk mencari apa aku cuba turuti. Meneruti kata hati sendiri sebenarnya tidak berapa baik.

Gerai atau pasar terbuka sebegini menjanjikan kesibukan. Ramai juag pelancong yang datang, mungkin kerana menyambut Tahun Melawat Malaysia. Di kanan kiri gerai seolah baru dibuka. Ada juga gerai makanan yang aku kurang beri perhatian. Perhatianku tertumpu kepada persekitaran yang agak sesak dan tidak selesa.
Saudara boleh tengok di sini ada orang yang menjual beg, kasut, jam, pakaian dan barang-barang macam pasar malam. Tapi di sini ia dijual lebih banyak dan mungkin agak murah. Aku tidak berani untuk bertanya berapa harga barang-barang itu sekadar melihat daripada jauh.

Ada yang membelek-belek barang jualan, menawar harga dan sebagainya. Pasar besar sebegini terlalu luas untuk ditafsir semua jenis ytanda yang ada. Cuma barangkali kelihatan di sana-sana, beberapa babak realiti yang sangat menarik untuk direnungi. Aku sendiri melihat dengan penuh rasa berbaur. Terlihat juga gagasan lucu yang meluncur dari buah babak sepontan itu.
Kelucuan itu membawa juga kepada rasa sedar diri yang menginsafkan. Di sinilah manusia mencari dan memperjudikan sebahagian hidup mereka. Seperti juga barang yang ada di letakkan di pasar luar ini, banyak perkara yang boleh kita pahami makna tersirat.

Tinggal beberapa jam lagi aku mesti tinggalkan lokasi ini. Aku harus berada di tempat yang lebih selamat. Iaitu Pudu Raya. Gamitannya terpancar di fikiran dan di setiap jejak masa yang akan kulalui. Aku perlu balik segera. Segala sesi yangdifikirkan rasional sebelum aku tiba kemari agak tidak dapat dipenuhi. Tapi rumusan akhir catatan ini aku gembira kerana ada perkara baharu yang sempat kubawa pulang bersama. Aku mahu mencari dan mengeledah lagi sekiranya masih ada pengalaman semacam ini. Tapi bila?.

5.9.07

palestin menangis darah

palestin yang sendirian di sana
didorong rasa tidak percaya dan takut
tanpa kejujuran, malah tiadapun tandanya
'tolong senyap di sini
seorang lelaki sedang menikmati tidurnya'
yang jelas adalah kemurungan malam terbalut
kalimah-kalaimah dusta, benci dan hasad dendam
tiada punca dari sejarah yakin
kerana segala syak dan kuasa
menghasilkan tamak rakus untuk menguasai

dan palestin dikuasai
ia menangis setiap kali derita menyelimutinya
menambah luka parah di tiap anggota
hati dikelar bersama sikap tidak jujur dari tiap arah
mana arah barat di situ suara tangisnya merebak
juag di timur, saudara yang tidak banyak membantu
lalu keseorangan lagi palestin sendirian
menangis sesepi di hujung malam

tiada kebenaran lagi di sini
tiada lagi kemanusiaan kerana palestin sendirian
mencari-cari pengakhiran kelesuannya sendiri
tamar, zaitun mendengar rintihan menyusup
dari rerumput, pasir dan tanah yang merekah
meninggalkan bumi meresap ke jantung waktu
lalu hilang dipegang takdir

tiada lagi susunan kata indah di sini
yang indah dan istimewa kerana manusianya
sedang mencari dirinya yang terbuang dalam
kelansungan penguasaan, terpaksa
menderitakan tangisannya berdarah yang tiada kesudahan.

1.9.07



untuk darfur

kau tidak bersendirian
menanti sinaran mentari kemudian
yang tidak banyak mengalamatkan
taman-taman indah
di tiap pertemuan ujian

hari-harimu mendepani kemurungan,
kecemasan, kecelaruan, kenaifan
bukan ketentuan, kerana kita akan
mula bangkit menentukan
cahaya yang bakal mengubah
menerangi tiap baris bandar dan daerahmu yang kelabu

tiada lagi pertembungan antara dalam dirimu
kehendak dan kuasa, kerana
perjuanganmu ialah mengekalkan maruah,
nasib bangsa dan bahagia perpaduan

jangan kerana kalimah-kalimah yang berbeza
memanjangkan perbezaan sejarah yang bakal diukir
generasi di hadapanmu mahukan yang boleh diwarisi
hasil persaudaraan yang sama
kerana penjajahan dahulu tentu banyak iktibarnya.

1 September 2007