
siaran Wasilah 25 Mei -3 Jun 2008
Keris Nama buku itu Sulalatus Salatin atau selalu disebut orang Sejarah Melayu. Hari itu saya keletihan, buku ini saya dapati dari seorang kawan yang amat ulat buku orangnya. Dia bukan tidak tahu saya tidak suka membaca buku kecuali komik. Itupun komik-komik terpilih. Saya tidak tahu apa muslihat kawan saya menghadiahkan buku lama ini kepada saya. Warna kulit bukupun sudah sedia maklum, pudar dan tidak menarik.
Saya tidak habiskan tajuk II ‘Kisah bermula di Bukit Si Guntang’. Lalu terus merelakan mata memisahkan segala urusan berkaitan. Tengahari seperti ini amat mendorong komposisi pemikiran yang masih utuh ini untuk berimaginasi dalam mimpi. Malah saya sudah lupa buku yang dihadiahkan teman, baru sebentar tadi membacanya. Apa namanya? ehmmm....ya, selalu disebut orang Sejarah Melayu. Perkataan melayu itu dikatakan banyak maknanya. Tapi saya rasa tidak bermaksud layu sepertimana mata saya ketika ini. Terpulang kepada saudara, carilah mungkin dalam buku Masyarakat & Budaya Melayu tulisan Ismail Hamid. Di buku itu ada makna bagi perkataan Melayu.
i
….Maka orang Jawa itupun kemalu-maluan, lalu ia mengamuk dengan golok Sunda. Maka orang pun banyaklah mati ditikamnnya, seorang pun tiada dapat mengembari dia. Maka orangpun gemparlah berlarian ke sana ke mari. Maka Hang Tuah pun dititah Sultan Mansur Syah mengembari Jawa mengamuk itu; maka Hang Tuah pun menyembah, lalu ia segera mendapatkan Jawa mengamuk itu, dan Hang Jebat dan Hang Kasturi mengikut dia dari belakang, hendak melihat Hang Tuah mengembari jawa mengamuk itu.
Setelah Jawa itu melihat Hang Tuah, lalu diusirnya; maka Hang Tuah pura-pura lari dan kerisnya dijatuhkannya. Setelah dilihat oleh Jawa itu keris Hang Tuah, maka dibuangnya pula goloknya, lalu diambilnya keris Hang Tuah. Adapun akan Hang Tuah terlalu tahu pada melihat keris; maka Hang Tuah diambilnya golok Jawa itu, lalu segera Jawa itu diusirnya. Maka oleh Jawa itu ditikamnya Hang Tuah, maka Hang Tuah melompat, tiada kena, serta ditikamnya Jawa itu dengan golok itu kena dapur-dapur susunya terus, maka Jawa itupun mati. Dipersembahkan oranglah kepada Sultan Mansur Syah, Jawa itu sudah mati dibunuh oleh Hang Tuah. Maka baginda menyuruh memanggil Hang tuah. Setelah ia mengadap maka dianugerahi persalinan, dilekatkan bagindalah Hang Tuah itu “Laksamana”. Maka masyhurlah gelar Hang Tuah “ Laksamana” disebut orang.
ii
Maka Betara[1] Majapahit menyuruh memanggil seorang kepetangan[2] yang terlebih tahu lagi pantas daripada yang lain. Maka titah Betara, “ Dapatkah engkau menyendal[3] keris Tun Bijaya Sura itu?” Maka sembah kepetangan itu, “ Apa daya kula menyendal dia, kerana Melayu ini memakai keris di hadapan, jika berkeris di belakang seperti orang Jawa, dapat kula sandal.” Maka titah Betara “ baiklah aku memberi dia berkeris di belakang.”
Setelah keesokkan hari, maka Betara Majapahit pun keluar dihadap oleh segala raja-raja, menteri hulubalang; dan Sultan Mansur syah pun ada mengadap. Maka titah betara Majapahit “ Tahukah Tun Bijaya Sura memakai cara Jawa?” maka sembah Tun Bijaya Sura, “ Jikalau dikurniai paduka Betara, tak tahu kula pakai juga.” Maka dikurniai Betara Majapahit persalinan. Maka Tun Bijaya Sura pun memakai cara Jawa, berkeris di belakang. Setelah ia memakai, lalu ia menyembah dan turun melihat orang menyabung terlalu ramai; bunyi sorak orang terlalu gemuruh , seperti tagar sampai ke langit. Dalam pada sabur[4] itu, maka oleh kepetangan itu diambilnya keris Tun Bijaya Sura, dapat matanya sahaja, lalu dipersembahkan kepada Betara Majapahit. Maka Tun Bijaya Sura pun menoleh ke belakang, dilihatnya kerisnya tiada. Maka katanya, “Eh, kesendalan aku oleh Jawa keparat ini.” Maka lalu ia segera menyamar, didekatinya orang yang membawa puan Betara Majapahit itu. Maka disembarnya mata keris iorang itu, dimasukkannnya ke dalam sarung kerisnya, lalu ia turun.
Maka orang menyabung itu berhentilah. Maka betara pun duduklah di penghadapan orang banyak. Keris Tun Bijaya Sura itu ditindih Betara di bawah pahanya. Maka titah Betara, “ Tun Bijaya Sura, mari sini!” Maka Tun Bijaya Sura pun segera datang, duduk di bawah Betara. Maka oleh baginda pada Tun Bijaya sura; titah Betara, “ Tun Bijaya Sura, kita mendapat keris terlalu baik, adakah Tun Bijaya memandang keris seperti keris ini?” Maka Tun Bijaya Sura, dikenalnya kerisnya; maka oleh Tun Bijaya Sura, dihunusnya mata keris itu dari sarungnya, maka maka sembahnya, “ Mana baik dengan keris patik ini?” Maka dilihat Betara keris itu, dikenal baginda, kerana adat raja-raja Jawa akan orang yang membawa puannya itu diberinya memakai keris yang baik, keris kerajaan lengkap dengan alatnya. Maka Betara pun bertanya pada orang membawa puan itu, “Mana kerismu?”. Maka dilihatnya kerisnya tinggal sarung sahaja. Sembahnya, “ Kemana keris patik? Tinggal sarungnya juga!”. Maka Betara pun tersenyum, maka titah baginda , “Terlalu cerdik sekali Tun Bijaya Sura itu dikembalikan Betara, dan akan keris baginda itu dianugerakan sekali pada Tun Bijaya Sura.
iii
Alkisah maka tersebutlah perkataan Raden Kelang, anak Sultan Mansur Syah dengan Raden Galuh Cendera Kirana, anak Betara Majapahit; setelah baginda besarlah, maka kasad Sultan Mansur Syah, sungguhpun ada Raja Ahmad, saudara Raja Muhammad yang dirajakan di Pahang itu, Raden Kelanglah dirajakan baginda; kerana Raden Galuh Cendera Kirana itulah menjadi Raja Perempuan Besar di Melaka.
Pada suatu hari Raden Kelang pergi bermain di Kampung Keling, maka orang mengamuk. Maka sekalian orang orangpun habis pecah lari, maka Raden Kelang berdiri menghunus kerisnya, menantikan orang mengamuk itu. Maka orang itu pun datang, lalu bertikam dengan Raden Kelang; sama datang mata keris itu, maka keduanya kena dada, lalu sama mati; seorang rebah ke kanan dan seorang rebah ke kiri. Maka dipersembahkan oranglah kepada Sultan Mansur Syah, “Paduka anakanda sudah mangkat mengembari[5] orang mengamuk”. Maka baginda pun segera berangkat mendapatkan anakanda baginda; maka diarak baginda dibawa kembali ke istana. Maka ditanamkan seperti istiadat kerajaan; maka segala orang yang mengiringkan Raden Kelang itu, semuanya habis dibunuh baginda, kerana tiada menyertai anakanda baginda itu. Setelah itu emapt puluh hari baginda tiada nobat, bercintakan anakanda baginda itu. Setelah empatpuluh hari maka bendahara pun persembah nobat, maka baharulah baginda nobat.
iv
Sebermula akan Sultan Mahmud Syah pun bangat besar, tahulah baginda memerintah kerajaannya sendirinya; terlalu baik sikapnya, tiada berbagai pada zaman itu. Jika keris ditempa Melaka yang panjang tengah tiga jengkal itu dijadikan baginda pendua, tiada kelihatan dari sebelah. Maka Sultan Mahmud Syahpun beristerikan anak sultan Muhammad Syah, raja Pahang; beranak tiga oran , yang tua lelaki bernama Raja Ahmad, yang dua lagi perempuan.
vi
……..maka keris hang Tuah tertikam pada papan dinding istana itu, lekat kerisnya; maka hendak ditikam oleh Hang Jebat , maka kata Hang Tuah, “Adakah ada lelaki orang demikian? Jika engkau sungguh, berilah aku menanggalkan kerisku dahulu.” Maka kata Hang Jebat. “tanggalkan kerismu”. Maka hang Tuah pun menanggalkan kerisnya, diperbaikinya. Maka bertikam pula dengan Hang Jebat, dua tiga kali keris hang Tuah tertikam kepada tiang dan dinding. Disuruh oleh Hang Jebat tanggalkan...
v
Tetapi akan Bendahara Seri Maharaja pun terlalu baik rupanya, lagi sangatlah hiasan; pada sehari enam tujuh kali bersalin pakaian, baju yang hadir juga seratus banyaknya, pelbagai rupa dan warnanya; destar yang sudah terikat pada kelebut dua tiga puluh semuanya, sudah dipakai belaka; cermin besar setinggi berdiri satu. Apabila Bendahara Seri Maharaja suah berkain, berbaju, berkeris, dan bersebai, lalu naik duduk di buaian. Maka Bendahara Seri Maharaja bertanya kepada isterinya, katanya “ Tuan, tuan, destar mana yang patut dengan kain baju beta ini?” Maka kata Bendahara perempuan, “Destar anulah yang patut.” Maka barang yang dikata oleh Bendahara perempuan ituah yang dipakai oleh Bendahara Seri Maharaja. Demikianlah hal Bendahara Seri Maharaja pada zaman itu, seorang pun tiada taranya.
vi
Hatta ada seorang menteri Sultan Mahmud, Tun Pepatih Hitam namanya, asal daripada Tun Jana Buga Dendang. Maka Tun Perpatih Hitam beranak seorang lelaki bernama Tun Hussain, terlalu baik sikapnya. Maka kata Tun Hussain, “Jikalau bapaku dibicarakan orang, aku mengamuk.” Maka dengan takdir Allah Taala, Tun Perpatih Hitam bersoal dengan seorang dagang. Maka Tun Perpatih Hitam pun berbicara dengan dagang itu pada bendahara Seri Maharaja. Tatkala itu Laksmana Khoja Hassan pun ada, kerana dapat Berdahara Melaka, apabila membicarakan orang, Temenggung dan Laksamana tiada bercerai dengan Bendahara; jikalau orang biadab lakunya pada bendahara, Laksamanalah membunuh dia; dan jikalau orang yang patut ditangkap dan dipasung maka Temenggunglah yang menangkap dan memasung dia. Demikianlah istiadat zaman dahulukala.
Setelah Tun Perpatih Hitam, dibicarakan oleh Bendahara Seri Mhaaraja, maka Tun Hussain, anakanda Tun Perpatih Hitam pun datang mendapatkan ayahandanya berbicara itu. Telah Tun Perpatih Hitam melihat datang berkeris panjang itu, maka pada hati Tun Perpatih Hitam, “ Entah disungguhkan oleh annakkku, Tun Hussain ini, seperti kata nya yang dahulu itu”. Maka Tun Perpatih Hitam pun berdiri, dikuiskannya tikar dengan kakinya, seraya katanya, “Menteri apatah ini, yang dibicarakan orang begini?” Setelah dilihat dihunusnya pedang lakia; maka kata Laksamana Mengapa maka Orang Kaya biadap, menguiskan tikar di hadapan Bendahara ?” Lalu diparang oleh Laksamana; dengan sekali parang itu juga maka Tun Perpatih Hitam pun matilah. Telah Tun Hussain melihat ayahnya mati itu, maka ia pun menghunus keris; maka kata Laksamana Khoja Hassan, “Hendak derhakakah Tun Hussain? Lalukan sekali!” Maka Tun Hussain pun ditikam oranglah; beberapa pun Bendahara Seri Maharaja melarang , tiadalah dikhabarkan orang, kerana sangat sabur. Maka Tun Hussain pun matilah. Setelah itu maka Laksamana pun masuklah mengadap Sultan Mahmud Syah; maka segala perihal itu semuanya dipersembahkan ke bawah duli Sultan Mahmud; maka titah baginda, “ Itulah kehendak hati kita, mati-mati Laksamana kita titahkan menemani Bnedahara itu, apatah pekerjaan Laksamana jikalau tiada demikian; keranan kelakuan biadap di hadapan Bendahara itu, serasa di hadapan kita. Maka Sultan Mahmud pun menganugerahi persalinan akan Laksamana.
vii
….Maka Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara pun masuklah, membawa keris Sultan Mahmud Syah, dibubuhnya di atas ceper perak, ditudungi dengan tetampan[6], dikeluarkan di hadapan Bendahara Seri Maharaja. Maka kata Tun Sura Diraja, “ Salam doa anakanda, bahawa takdir Allah Taala telah datanglah pada hari ini.” Maka sahut Bendahara Seri Maharaja dan Seri Nara Diraja, “ Barang yang telah berlaku pada hukum Allah itu, hamba pun redalah.” Maka Bendahara Seri Maharaja dan Seri Nara Diraja pun mengambil air sembahyang. ……………..
Seusai dibaca pada esok hari sampai saya menguap-guap lima enam kali. Tetapi saya puas dengan hasilnya dan dapat merasai sukarnya memahami sesuatu yang lama. Lantas saya terfikir beberapa perkara tentang keris dan cerita yang saudara baca tadi. Sehingga saya boleh berbicara dengan dengan keris. Begini dialog yang dihasilkan;
Keris, kau mungkin tidak mampu menuturkannya satu persatu, perihal sejarah bangsa kita. Mungkinkah dirimu satu keagungan masa silam yang mempunyai pelbagai tafsirannya. Fikiran tertumpu pada Sejarah Melayu yang kumimpikan malam kelmarin, episod demi episod. Hasilnya anekdot ringkas ini. Ya bagaimana fungsi keris kepada Raden Kelang, anaknya Sultan Mansor Syah yang tidak dapat mempertahankan dirinya. Malah dengan keris dirinya terkorban semata-mata berlawan jiwa yang amuk dan berkecamuk itu. Namun, aku bukannya mempersalahkanmu.
Dan entah bagaimana Laksama Hang Tuah melaksanakan titah Sultan melawan Hang Jebat yang derhaka itu. Lalu dengan dirimu mereka berdua bertikam sesama sendiri dan sering saja tidak mengena sasar. Hang Jebat yang menderhaka memulangkan hak Hang Tuah semata-mata untuk menghabiskan sisi episodik dalam epik bangsa. Bagaimana keris menyelesaikan masalah antara ketaatan dan penderhakaan. Bagaimana keris memperkatakan soal-soal keadilan itu dapat diwaris hingga ke hujung zaman. Bolehkah kau berterus-terang dengan sejarah yang kau ada. Dirimu mungkin terlupa dengan tingkah kita yang berbeza.
Dari dirimu juga Hang Tuah dilihat berjasa kepada Bendahara. Bagaimana Hang Tuah mengembari jiwa yang amuk itu. Menimbulkan kerisauan dan huru-hara. Tetapi kau mengadilinya dengan cara yang berbeza. Bagaimana Hang Tuah mengadili jiwa yang amuk itu dan menyelamatkan Bendahara dan dari situlah Hang Tuah diberi gelar Laksamana. Tajamkah keris itu dalam menentukan nasib seseorang?.
Tapi bagaimana dengan nasib bangsa, sesudahnya melalui zaman yang penuh tragik. Kau menghantar kita ke hadapan kenyataan. Bangsa yang besar dan dihormati boleh tersepuk ke bawah atas kelemahan diri sendiri yang tidak segera diperbetulkan. Mana yang sahihnya. Zahirnya manusia mempunyai banyak pilihan dan tidak mudah untuk memilih yang sahih itu. Sejarahmu dan sejarah kita bersama menutur semua ini. Apakah bangsamu telah alpa.
Bagaimana dirimu mudah dijustifikasikan dengan penderhakaan. Lupakah kamu kepada Tun Hussain yang cuba membela ayahnya Tun Perpatih Hitam. Keadilan relatif pada zamannya mungkin. Atau ia memang tidak direnungi sedalamnya. Tapi bila nafsu berraj di hati mana mungkin keadilan dapat di tegakkan. Kau sendiri menjadi saksi kebenaran ini.
Cuma kadang-kadang keris ini sangat berjasa. Ya, berjasa bagi Tun Bijaya Sura. Saya lihat ia dengan fikiran Melayunya cuba mengajar Jawa yang cuba menggunakan helah yang tidak menjadi. Bagaimana kita boleh berbangga dengan Tun Bijaya Sura menggunakan hikmah dan kebijaksanaannya untuk menunjukkan kewibawaan diri. Walaupun orang Melayu alpa, dia perlu bangun dan membetulkan keadaan dengan fikiran. Orang Melayu mesti gunakan fikiran. Jangan jadi Hang Jebat yang menggunakan jasad yang akhirnya mengorbankan sejarahnya. Juga Tun Hussain yang terlalu berdarah muda dalam bertindak.
Keris, padaku kau simbol zaman. Kau bisa menafsir dan ditafsir semuanya. Kau sejata yang menyakitkan dan kau juga senjata paling bijaksana menunjukkan kebijaksaan. Kita jangan lupa perjuangan yang sebenarnya adalah sesuatu yang telah disebut dalam agama. Ia lebih nyata dengan janji-janji Tuhan. Kita barangkali terlupa dengan agama. Antaranya salam yang maksudnya keamanan. Maka, jangan kita berkelahi tentang sesuatu yang remeh.
Kaukah yang menyelamatkan Melaka?. Sejarah ini harus dirujuk dan kita perlu merenungi sedalamnya apa tindakan kita. Aku kira, keris, kau mengajarkanku sesuatu hari ini. (Ya, tidak sia-sia kawanku membaca tentangmu. Terima kasih kepada kepada teman yang menghadiahkan buku ini). Keris ceritamu mungkin setakat itu. Setakat sejarah yang lalu. Tetapi semangatmu harus difahami dengan jujur dan penuh berakal.
--------------------------------------------------------------------------------
[1] Betara : gelaran raja Majapahit.
[2] Kepetangan : bijak, banyak mempunyai tipu helah.
[3] Sandal : curi
[4] Sabur: haru-biru
[5] Mengembari : melawan
[6] Tetampan : selampai daripada kain sutera kuning yang didisebaikan di bahu ketika mengadap raja atau untuk menudungi barang-barang yang dipersembahkan kepada raja.
Rujukan: Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, Penyelenggara A. Samad Ahmad. Dewan Bahasa dan Pustaka. 2000.