

Tragedi seperti yang disebut Aristotle ialah peniruan dari kehidupan nyata. Seperti dicatatkan dalam karya agungnya Poetics antaranya “tragedi itu adalah suatu peniruan, bukan peniruan manusia tetapi peniruan sesuatu aksi serta peniruan kehidupan; dan kehidupan terkadang dalam aksi, dan penyelesaiannya ialah suatu ragam aksi, bukan suatu nilai daripada aksi” (Kumpulan Kritikan Sastera: Timur dan Barat, selenggara Muhammad Hj. Salleh, DBP, 1987).
Masalah minyak yang melanda seluruh dunia khususnya di negara kita pada 5 Jun amat dirasai. Mungkin kita boleh mengatakan ianya merupakan satu ‘aksi’ daripada pelbagai aksi kehidupan lain yang munasabah kita menyebutnya satu tragedi yang melahirkan gelisah, marah, kecewa dan sifat negatif lain.
Manakala katarsis (catharsis) pula lahir daripada menikmati ‘tragedi’ yang rencam dengan amuk, sedih, marah manusia itu dengan pemurnian atau penyucian daripada perasaan yang pelbagai rasa itu. Ia kesan lansung daripada tragedi tetapi bertujuan ke arah memberi pengajaran atau penyelesaian kepada khalayak manusia itu kembali (“In real life he explained, men are sometimes too much addicted to pity or fear, sometimes too little; tragedy brings them back to a virtuous and happy men”, lihat
Wikipedia).
Aristotle melihat tragedi dalam konteks menghuraikan aspek-aspek seni dan kritikan dalam sesuatu drama. Manakala penulis merasakan tidak salah untuk melihat ‘tragedi’ dalam konteks kenaikan minyak yang berlaku baru-baru ini yang juga satu bentuk juzuk kehidupan yang mempunyai kesan yang mendalam dan meluas.
Dapat dilihat di media massa dan media visual tentang kesan kewujudan kenaikan harga minyak yang melambung daripada tahun 2007 menunjukkan harga petrol $50 US setong kepada melepasi aras $130 US setong pada pertengahan tahun ini dan dijangka mungkin akan berlegar antara $ 150 ke $200 US pada masa akan datang. Di negara-negara membangun tentu merasakan ini merupakan salah satu ujian getir semasa selain daripada krisis makanan yang dihadapi di peringkat global.
Rata-rata negara ASEAN yang menyediakan subsidi terpaksa mengurangkan kadar subsidi yang sedia ada bagi mengurangkan risiko lonjakan defisit belajanwan. Negara mengambil langkah untuk mengurangkan subsidi pada ketika ini iaitu bermula daripada 5 Jun dan secara automatik harga minyak negara meningkat 40 % iaitu sebanyak RM2.70 per liter. Subsidi yang dikurangkan itu dikatakan mampu menjimatkan 3.7 billion ringgit dan dikatakan dapat digunakan untuk saluran-saluran lain untuk menjana kestabilan ekonomi negara.
Akibatnya rakyat menerima ‘tragedi’ kenaikan minyak yang mengejutkan ini dan memberikan tanda kelansungan kegelisahan rakyat yang semakin dirasai akibat pelbagai kenaikan yang pernah berlaku sebelum ini.
Dalam masa yang terdekat juga, spekulasi berkaitan kenaikan minyak mungkin sahaja akan berlaku mengikut keadaan perubahan masa dan keadaan iaitu merujuk kepada pemasaran minyak global. Seperti disebut Menteri Perdadangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, menyatakan harapannya harga minyak terbaru dapat dikekalkan sehingga Mac 2009.
Ketidaktentuan ini mendahului pelbagai reaksi kerajaan yang baru berusaha untuk memperkemaskan jentera dan tubuh badan parti pemerintah yang dilihat sudah semakin goyah. Satu kebenaran yang harus diakui isu minyak ini sebetulnya satu tamparan yang hebat kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah-masalah luaran di samping masalah-masalah dalaman yang sedia ada berselerak di sana sini.
Rakyat dapat merasai bahawa keadaan kepimpinan negara mulai gelisah terpaksa mengorbankan keputusan tidak popular itu iaitu menaikkan harga minyak lantaran desakan peningkatan permintaan minyak global yang begitu tinggi.
Meskipun pelbagai jawapan atau penyelesaian yang disediakan pihak kerajaan untuk menangani isu ini, namun kelihatan rakyat bersedia untuk bersuara. Ini disebabkan kenaikan berlaku dengan tidak efisyen iaitu tanpa memberikan isyarat dan tanda-tanda persediaan kepada rakyat bagi menghadapi isu. Isu kenaikan ini merupakan antara paling utama bagi negara-negara membangun kerana ia melibatkan peningkatan kadar inflasi dan kos perbelanjaan yang dijangka bertambah.
Kekesalan rakyat juga dijelmakan dengan rasa tidakpuas kepada harga minyak yang bukan sedikit kenaikannya. Faktor ini tentu mendorong kenaikan beberapa sektor dan kos barangan yang dikatakan dalam kawalan kerajaan. Beberapa hari selepas kenaikan harga minyak tanpa amaran itu, beberapa harga barang sudah naik harga. Seolah ini satu peluang kepada semua sektor yang berkaitan untuk menaikkan harga barang meskipun harga tidak sedemikian patut.
Tragedi tidaklah mungkin dilupakan UMNO ketika mana keadaan ini dirasai selepas kemerosotan performencenya PRU 12 yang berlalu dua bulan dulu. In diakui oleh Abdullah Badawi bahawa keadaan ini yang terpaksa dilalui dan pihak kerajaan sentiasa melihat semua keadaan supaya tidak membantutkan perjalanan negara.
Empat pendekatan yang dimaklumkan bagi mengurangkan kesan isu krisis harga minyak ini iaitu menjimatkan kos pada jabatan dan agensi kerajaan, meningkatkan jaringan jaminan sosial bagi golongan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik, menambah barangan kawalan dan barangan lain pada kadar terendah dan memperbanyakkan kenderaan.
Setakat ini pendekatan yang diwar-warkan ini dilihat satu langkah untuk membendung beberapa masalah kenaikan harga minyak dan barangan lain. Pun begitu ia dilihat belum menyeluruh kerana rakyat merasai bahang kenaikan harga minyak yang tidak ada sebarang jaminan buat masa panjang untuk kekal seperti harga baru.
Rakyat masih menunggu keadaan di mana perlu adanya pembelaaan yang wajar kerana setakat ini kebergantungan kepada industri minyak negara kepada import yang menyebabkan kenaikan harga barang tidak dapat dikawal. Dan pelbagai lontaran daripada suara rakyat sendiri dengan masalah-masalah yang bakal dihadapi iaitu kenaikan barangan keperluan lain yang bila-bila masa akan membuntuti harga minyak.
Walaupun dengan ‘tragedi’ yang terpampang di seluruh dunia khususnya Malaysia , kerajaan menyediakan katarsis yang bersifat sementara lantaran harga minyak RM 2.70 belum tetap sedemikian masa akan datang. katarsis yang tidak menyeluruh itu mungkin dianggap akan mengalihkan atau memperlahankan reaksi sepontan rakyat namun kenaikan harga minyak itu dengan sendirinya telah mengikat rakyat kepada isu dan persoalan.
Jika sebelum ini harga minyak mengalami kenaikan sekitar beberapa sen namun dengan harga baharu ia secara tidak lansung telah membuka mata rakyat kepada beberapa isu yang lebih realiti berbanding sebelum ini. Hakikat kenaikan harga minyak akan membawa implikasi ekonomi individu masyarakat. Demikian juga isu ini berkaitan pula dengan gaya hidup.
Media menyediakan pelbagai ‘pandangan’ dan ulasan yang bersifat mengikut arus kepada keputusan kerajaan menaikkan harga minyak. Juga diperkatakan di media-media arus perdana tentang langkah-langkah yang bijak dilakukan bagi menbendung keadaan ekonomi negara supaya stabil.
Juga wujud juga saranan daripada Abdullah Badawi sendiri seperti meminta untuk rakyat mengubah cara hidup dan mengamalkan budaya jimat-cermat selain memberi keutamaan perbelajaan kepada hal-hal yang bersifat keperluan dan yang penting sahaja. Ini memberi respon yang tidak lunak sebetulnya daripada pihak rakyat kerana setakat ini rakyat sudah sedia maklum tentang hal ehwal perbelanjaan yang dilakukan setiap hari. Masalah yang dihadapi adalah pendapatan mereka tetap tidak membawa rakyat kepada keselesaan hidup.
Persediaan dari pihak kerajaan dengan persediaan rebet yang diperuntukkan kepada rakyat mendapat pelbagai reaksi. Reaksi itu tentulah rasa tidakpuas hati dan menganggap isu minyak lebih ketara mengatasi mana-mana alternatif yang disediakan. Wujud juga beberapa saranan untuk mengimbangi gaya hidup yang dilihat semakin menuju naik turn satu-satu akibat ketidaktentuan ekonomi semasa.
Dalam pada itu kerajaan masih lagi melihat bahawa masyarakat perlu mengikis sikap manja dan hanya mengharapkan subsidi yang diberikan padahal soal pemberian subsidi bukan soal pilihan tetapi satu kewajipan kerajaan bagi melindungi rakyat agar tidak terlalu terbeban. Masih lagi ada suara-suara yang menimbulkan tanda tanya sama ada adakah mekanisme lain untuk mengatasi masalah yang ada.
Pun begitu, kenaikan harga tambang kenderaan awam, barangan keperluan harian, makanan dan sebagainya sudah mulai timbul di televisyen dan akbar. Tentu kenaikan harga yang tidak dapat lari dikaitkan dengan minyak akan wujud. Di sini rakyat sekali lagi mendepani keadaan ketidakseimbangan perbelanjaan.
Walaupun kerajaan dijangka terus menerus memperkenalkan beberapa semacam intensif bagi mengurangkan ‘ledakan’ kenaikan kos hidup, namum yang jelas rakyat masih memerhatikan soal pokok masalah iaitu berpunca daripada ‘tragedi’ hari ini.
Penyelesaian-penyelesaian pilihan kerajaan tentu akan menyusul kemudian di samping cuba mendekati rakyat secara psikologi baragaimana perlu menerima keadaan sebegini walaupun pahit untuk ditelan. Buat masa ini (setakat tulisan ini dibuat) intensif sedemikian masih samara dan mungkin memerlukan eksperimen yang bijak daripada pihak kerajaan.
Mengurus sesuatu krisis sebegini, walaupun bukan seperti krisis ekonomi era Mahathir, ia tentu menguji kepimpinan Abdullah Badawi dan ahli kabinet yang diterajuinya. Rakyat sentiasa memerhati gerak-geri dan tiap butir janji yang dinyatakan kerajaan.
Rata-rata rakyat terkedu dengan perkataan jimat, bersederhana dan berkongsi kenderaan misalnya jika perkatan-perkataan sedemikian adalah satu retorik yang dibuat tidak memerhatikan dari segenap peringkat masyarakat. Walaupun di ketika ini rakyat perlu ‘bersama’ dengan kerajaan untuk menghadapi kenaikan minyak ini tidak bermakna kerajaan perlu melontarkan pandangan yang tidak realistik pada suasana semasa.
Katarsis bagi pihak kerajaan akan berterusan dengan pertambahan rungutan dari pihak rakyat selaku pengguna petrol. Ini belum dipastikan lagi kerana masih di peringkat awal isu minyak yang membayangi masa terdekat ini.
Adakah mampu rakyat menghadapinya dengan saranan, penyelesaian, intensif, rebet, ‘katarsis’ dari kerajaan sendiri atau ‘katarsis’ dari pihak media arus perdana. Semua ini bakal mendatang satu demi satu dan ia menguji rakyat yang sebelum ini mengalami kenaikan beberapa barangan makanan dan keperluan lain, dan ia masih memerlukan ruang untuk rakyat melihat bagaimana pengurusan negara dilaksanakan dengan sebaiknya khusus di ketika ini.