
Kenyataan Abdullah Badawi bahawa UMNO dan PAS akan bermuzakarah diterima dengan positif ramai orang. Tampak media massa berperanan mewar-warkan hal walaupun ceritanya belum matang; umpama di pihak UMNO baru selesai menanam benih dalam tanah dan PAS belumpun meletakkan benih ke dalam tanah. Untuk melihat hasilnya tentulah lambat dan ia terlalu awal untuk kita menjangkanya, jika ia berjaya adakah akan berlaku perubahan pada suasana dan masa depan negara. Begitulah juga sebaliknya.
Di kalangan yang meraikan itu tentulah secara dominannya ialah daripada orang Melayu. Mungkin orang Melayu yang ‘meraikan’ itu percaya bahawa permulaan ini merupakan genesis pembaharuan yang sangat ‘penting’ lagi signifikan dalam arena politik Melayu-Islam negara. Juga dilihat daripada populariti PM yang bersedia membuka langkah ke arah itu yang mendorong menjadi bahan yang ampuh untuk menyatakan kepada rakyat bahawa tiada mustahilnya muzakarah UMNO-PAS itu berlaku.
Pun begitu, kepercayaan dan realiti ini masih awal diberi rumusan kerana UMNO dan PAS berkemungkinan mahu mencari sisi-sisi atau ruang-ruang munasabah untuk diketengahkan dalam pertemuan itu. masing-masing mempunyai pendirian dan mahukan sesuatu di sebalik daripada titik temu ini. UMNO memaksudkan sesuatu begitu juga dari pihak Pas. Tentulah situasi politik semasa ini agak unik kerana mengikut sejarah PAS jarang bersama dalam UMNO dalam medan yang selama ini berasingan.
UMNO memiliki wadah perjuangan yang berbeza iaitu Melayu sebagai terasnya manakala PAS memiliki wadah Islam sebagai perjuangan. Jika pertemuan ini berlansung dan akan disertai pula dengan pelbagai hal positif maka ia sudah tentu dianggap unik selain daripada wujud persepsi sedikit janggal.
Tetapi pada pihak UMNO tiada kejanggalannya apabila wujud jambatan penghubung antara kedua-dua parti Melayu besar itu. Perbezaan wadah perjuangan, weltanschauung dan pratikalnya berbeza tetapi di sisi lain UMNO-PAS memang sudah tersedia bersepakat dalam beberapa citra dan sikap.
Pun begitu, UMNO merasakan masa untuk ‘menjalin silaturahim’ ini tleah tiba masanya. Pak Lah sebagai ketua keluarga mahukan sesuatu yang baik untuk keluarganya dan begitu juga yang lain. Di pihaknya tentulah alasan menjalinkan silaturahim bukan suatu yang luar biasa atau luar tabie dan ianya satu tuntutan agama dan diwajarkan oleh adat Melayu sendiri.
Dalam sejarah UMNO-PAS pernah mencatat kebersamaan ini dan perkara ini sudah tentu tidak mustahil pada kali ini. Tetapi hubungan tersebut ternyata tidak lama dan seolah-olah dihalang oleh ‘politik’ juga. Justeru, tidak hairanlah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat selaku Mursyhidul Am menyatakan tidak mungkin Pas masuk ke lubang sama dua kali dan kenyataan yang lain; tiada istilah muzakarah kerana ruang itu sudah lama ditutup.
Sekarang ini, Pak Lah memiliki peluang untuk ‘bermuzakarah’ atau muqabalah dengan PAS. Hal ini sangatlah ‘janggal’ sifatnya jika dilihat pada situasi sekarang. Pas merupakan juzu’ penting dalam Pakatan Rakyat yang disertai oleh PKR dan DAP. Secara umumnya Pakatan Rakyat pada masa kini, jika dilihat segi kesatuan dan keutuhannya yang tidak menghadapi sebarang masalah. Kebersamaan PR menjadi faktor kepada kemenangan terbesar pembangkang yang berjaya memenangi lima buah negeri dan hampir menawan beberapa neger yang lain.
Juga berkaitan dengan niat UMNO untuk bermuzakarah dengan Pas ketika ini seolah-olah dilihat sebagai satu usaha yang sangat ‘tersembunyi’ sifatnya lantaran ketiadaan ‘orang tengah’. Pertemuan satu sama lain face to face (mungkin akan menjadi sejarah ini) dengan bertujuan untuk membincangkan hal-hal Melayu, isu-isu berkaitan agama dan sebagainya dilihat ramai orang usaha yang murni untuk menyatukan beberapa idea, fikiran dan cetusan dari kedua-dua parti ini. Juga dilihat UMNO memulakan langkah ini adalah untuk mencari sedikit kepercayaan terhadap rakyat yang sudah mengalihkan perhatian kepada PR khususnya Pas lantaran bahana PRU 12 yang lalu.
Apapun ia dilihat satu usaha yang murni dan sahih. Tetapi ia masih bergantung kepada ‘persetujuan’ kerana muzakarah ataupun muqabalah ini berlansung hasil persetujuan antara kedua-duanya demi mencari satu titik penyelesaian beberapa isu yang berbangkit sebelum ini.
Dari pihak Pas, ia dilihat sebagai satu pertemuan (muqabalah) bagi mencari penawar kepada beberapa penyakit yang wujud sebelum ini. Tentulah sebagai sebuah parti yang berwadahkan Islam, cuma melihat persoalan-persoalan dari kaca mata Islam dan penyelesaiannya yang murni. Pas perlu menyatakan beberapa subjek pokok berkenaan Islam dan Melayu bagi membetulkan beberapa kesilapan yang lalu.
Dalam beberapa hal UMNO perlu akur bahawa Pas sudah berjaya membangun dengan lebih baik hasil daripada keyakinan Pas terhadap wadah yang diperjuangkan. Kelantan sebagai contoh memberikan imej dan tamparan kepada UMNO apabila negeri tersebut yang berada dalam keadaan yang sangat baik berbanding beberapa negri yang diperintah UMNO. Pas juga sudah berjaya menyakinkan rakyat selian mapu membangun modal insan yang mengikut acuan Membangun Bersama Islam.
Dalam pada itu kejayaan Pas mengulas dan mengenengahkan beberapa isu selalu menjadi pokok kepada bicara dalam banyak hal khususnya yang berkaitan dengan agama. Memanglah pertemuan ini satu pertemuan yang diharapkan akan menjadi titik permulaan kepada perubahan politik Melayu tetapi ia sebenarnya terlalu ‘jauh’ daripada hasrat semua.
Halangan-halangan itu agak mendasar disebabkan watak dan sifat yang ada pada kedua-dua parti yang memang berbeza sama sekali, ia dilihat canggung untuk dipertemukan. Tetapi apa salahnya sekiranya hal yang dibincangkan bersangkutan hal-hal hak orang Melayu yang memang ‘tidak selesai-selesai’ dan hal-hal tentang agama yang menjadi titik pertemuan.
Jika dipertemukanpun dalam keadaan yang aman, masih ada ‘kotak-kotak agenda’ yang diketepikan demi mencari jalan pulang ini kerana seperti diwar-warkan pertemuan itu sekitar hal-hal yang sangat penting berkaitan dengan agama dan Melayu.
Untuk itu, dalam menyampaikan mesej politik yang tidak berbau janji dan kesukuan, kali ini mengapa tidak Islam dan Melayu dipertemukan secara jujur. Harus diletak ketepi syakwasangka hal-hal berkenaan populariti atau sifat wira bangsa seperti dinytakan selalu oleh UMNO.
Agak menarik juga apabila Menteri Besar Kelantan menyatakan pendiriannya yang tidak berselindung sedikitpun. Pada beliau ia bukan muzakarah tetapi muqabalah sepertimana yang dinyatakan. Bagi pihak Presiden Pas, pula ia tidak menjadi masalah kerana Majlis Syura sudah berbincang tentang hal ini. hasilnya adalah persetujuan muqabalah ini diteruskan atas nama dakwah untuk memberitahu kepada pihak UMNO bahawa beberapa isu ang penting.
Sebagai sebuah parti yang kian dilihat atau ‘terpandang’ memang Pas sudah makin dilihat ketengah ruang untuk menjadi pembicara dalam banyak hal. Isu berkaitan tentang hubungan Pas dengan PR yang masih bersama bukan satu isu, tetapi yang lebih utama bagaimana dengan pihak UMNO yang sangat bersedia untuk bertemu dengan Pas sebagai satu langkah yang mungkin dulunya tidak popular tetapi sekarang berubah popular, buktiknya sambutannya agak mengalakkan.
Rakyat juga mahu melihat bagaimana muqabalah itu berlaku dan hasilnya?. Itu akan jadi persoalan penting buat pengambiltahu ketuanan Melayu-Islam. Penting juga dilihat bagaimana Pas membawa muqabalah bukan muzakarah ini kepada satu real politik yang lebih matang. Ingin dikongsikan juga tentang perkataan muqabalah dan muzakarah yang dikirakan agak berbeza satu sama lain.
Jika kata ‘muzakarah’ seperti dinyatakan UMNO sekarang ini dengan begitu sering, yang membawa makna perbincangan, tetapi kata ‘muqabalah’ (yang lebih halus maksudnya dan diubah dari muzakarah oleh Tuan Guru Nik Aziz ) yang bukan sekadar bermaksud pertemuan beremuka yang seperti dikatakan, malahan mempunyai maksud lain iaitu saling menerima, berkasih-kasih dan berkeperihatinan (seperti dalam Mufradat al-Alfaz Al-Quran oleh ar-Raghib al-Asfahani). Itupun jika benar-benar ada keikhlasan dari kedua-dua kepimpinan parti itu bertemu bagi menyelesaikan pelbagai masalah.
Ini juga harapan rakyat di bawah sebenarnya untuk melihat masalah-masalah pokok dibincangkan dengan hati yang terbuka, fikiran yang berpandukan agama dan melihat politik menjadi hal yang jatuh ke nombor ke tiga atau empat buat sementara ini. Apakah salahnya jika betul cara !.




pemilik dari Brunei, Thailand, Singapura dan Hong Kong juga akan turut serta mempamerkan kenderaan masing-masing.
