27.9.08

Aidilfitri


Minal a'idin wal faizin wa kullu a'min antum bilkhair.

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin.

Pulang ke kampung saya hari ini, insyaAllah.

.
.

Selepas Menonton 'Sepi'


Memang ada saya pendam rasa untuk tonton filem ini. Saya percaya ia filem Melayu dan boleh katakan, membuktikan bahawa filem Melayu tidak mati lagi. Saya ada rasa sebelum menonton bahawa ia tentu membawa subjek dan olahan berbeza daripada filem-filem tempatan lain. Kiranya filem-filem, yang kebanyakkannya masih di alur 'romantisme' dan 'taqlidisme' kepada filem-filem luar, dan filem ini membuktikan filem Melayu atau filem Malaysia harus berada di luar lingkaran itu walau tidak sepenuhnya.

Memang betul kalau dianggap filem ini belum meraih 'keunggulan' filem pada tahap yang sepatutnya tetapi kemampuannya memberikan nafas segar dan pengolahan cerita yang berbeza, boleh dianggap satu konsistensinya yang baik.

Jarang dalam filem kita menumpangkan 'puisi' ataupun semangatnya dalam filem tempatan, entah sebab apa. Tetapi filem-filem yang mengambil inspirasi daripada puisi sudah banyak malah seperti dikatakan pengarah filem Mukhsin, filem itu juga daripada salah sebuah puisi Wisława Szymborska iaitu penerima Hadiah Nobel bahagian sastera tahun 1996. Dan dalam filem pertama Yasmin Ahmad yang berjudul Sepet itupun, menumpang puisi-puisi Rabindranath Tagore secara lansung. Ia menunjukkan beberapa percubaan malah keseriusan pembikin filem melihat aspek sastera harus menjadi jambatan penting untuk mencipta sebuah filem yang baik.

Barangkali di Iran, pembikin filemnya yang selalu menggunakan puisi buat filem-filem mereka. Sejak beberapa dekad agaknya, penulis tidak pasti, tetapi sebilangan daripada pengarah seperti Abbas Kiarostami merancakkannya dalam filem-filemnya seperti Taste Of Cherry, The Wind Will Carry Us dan sebagainya.

Ringkasnya,tentang 'Sepi' yang cuba menatang puisi daripada Khalil Gibran, yang diulangi banyak kali dalam filem itu sangat menarik dan ia menjadi inti kepada filem tersebut.

Melihat kepada segi bentuk, Khabir Bhatia berjaya melansungkan 'bentuk' yang agak kemas dalam filem ini. Watak-wataknya mampu menyokong cerita dan kemas. Plot-plot atau babak-babak yang saling mengukuhkan intipati cerita dan dikembangkan dengan alur yang mnasabah tidak kira teknik yang digunapakai- menampakkan walau terdapat 3 dalam 1 tentang subjek 'sepi' yang ingin dipaparkan lewat watak-watak, namun keseluruhan bentuk sangat baik.

Isi pula yang dikembangkan dengan pendekatan yang mudah dan mesra. Jalinan emosi sangat tepu dalam penyampaian, lantaran seakan melodrama cuba juga dipamerkan dalam filem ini. Namun kerana mungkin bagi Khabir- cerita 'hampir serius' seperti ini wajar dikocakkan dengan emosi dan muzik, walau kelihatan -pandangan penulis sedikit mengurangkan kesan, tetapi ia tetap tidak menjejaskan persembahan keseluruhan.

Kematangan idea dan garapan yang mengikut alur yang baik. Isi tentang 'sepi' ditafsirkan melalui watak-watak. Ia berjaya dan cuma mash bergantung kepada alat bantu 'komersial' dan jka ia dikemaskan, (mungkin) keperihatinan kepada 'komersial' itu menyebabkan filem lahir sedemikian rupa.

Di tangan Khabir, ia berjaya dan moga yang mendatang lebih baik dan 'intense' lagi. Akhirnya, perlu banyak lagi filem yang dimatangkan dengan falsafah dan puisi semacam filem-filem yang berbeza arus, seperti yang sudah sedia ada.

.

.

26.9.08

Sajak Sepuluh Sen



Sepuluh sen
dari keladak minyak
disisih dari jemari ketar
masa dihiris nipis
hati-hati
menjaga kulit bawang
agar mana-mana tidak terasa hati.

Sepuluh sen
juga dari untung penjaja
yang setiap hari di pasar jual
untung dihiris keadaan
hari raya untuk siapa?
anak-anak belum tahu apa-apa

Sepuluh sen
yang istimewa
hadiah untuk berpuas hati
perjalanan esok diteruskan
cairkan hati
dan leburkan dengki
raya tidak lama lagi

26 september 2008


Pertalian Hidup

Reduplah mata malam
senyum matahari akan dipinjam bumi lagi
untuk membelah bahagian waktu,
sejarah dilitupi madat dingin sementara
dan bila dinihari menuruni anak-anak bukit
tinggallah jejak samar kelmarin hingga bersuara alam
dari pinggir belantara ke kota membusur laju
menyisir rumputan daratan dan riak kecil di kali
Hidup desa menjadi petualangan di bayangan sendiri
luar kamar mencari jatidiri
dari titik-titik kecil sempadan usia
jelas dengan embun yang kering di muka daun
menanti tiba ruang cahaya memintal sinar
setia pada malam dan siang
jalinan teguh dua dunia yang berasingan
iaitu cinta dan iman
dipersoalkan setiap detik udara berlalu.
Diri, akan melabuhkan mimpi para penghuninya
mata merebahkan semalam ke air gunung
hati mengalir ke lautan yang dalam
nafsu menemui kolam tenang
fikiran di mendakap wajah desa.
Sebentar sahaja, dalam putaran ketentuan
diri, mencari denai benar untuk beristiqamah
memanjakan sukma yang sedang basah...


Konsep, Oktober 2008.

.
.

23.9.08



*Jemput baca sajak Lewat dalam Mingguan Wasilah bil 80(49) 28 September-04 Oktober.
Juga sebuah rencana semasa Bahasa Melayu Di Persimpangan Jalan.

Rasanya saya mahu rehat. Rehat itu penting, tapi apa mahu buat. Saya tidak bisa.
.
.

didenda baca puisi 2


Hadi salah seorang murid yang saya minta bacakan sebab dia bersembang sakan dengan kawan sebelahnya, lalu saya mintakan baca sajak di hadapan. Hadi murid yang sederhana tetapi kadang-kadang Hadi yang cepat bertanya jika perkara saya nyatakan dalam pengajaran atau apa-apa saja yang menarik perhatiannya. Tadi selepas dia duduk, lepas baca sajak, beberapa minit kemudian dia bertanya. Itu buku apa?. Saya lamba jawab.


Akhirnya saya kata buku cerita. Tapi di wajahnya macam meminta saya menerangkan lebih dari itu. Nyata jika betul cara, ia akan menarik minat murid. Saya taipkan dua buah puisi dan selebihnya saya nyatakan saja. Murid-murid 2P itu pintar-pintar belaka muridnya.


hujan malam

sebuah tasik malam
yang memanjang dari gelap
hingga pesisir kesedaran
kuseberangi dengan kapal hujan
rintik pada daun menderukan gerak,
membawaku ke arah sayup,
tiada pantai,
yang berkedip di hujungnya
hanyalah api malap kenalan.
bintik-bintik dari diri berdenyut wujud.

gelap memperjauh perjalanan.
yang kulihat hanya bahan kelam
yang bocor oleh titik hujan
dan memebus diri tipis.

jalur menderu
rentakya kuikut dengan otot.
tak mungkin kupalu gendang
dan sama menari
jadi, kuturut dengan kecewa
kembara ke kesayupan
sambil membaca bersit hujan
di muka.

kacang

jalarmu menggaris ghairah hidup
menyatakan dengan bunga biru
dan rimbun daun akan hakikat singkatnya
waktu yang kita punyai.

oleh itu kau memanggl penanam di pondoknya,
terus melatih perasaannya
dan segera menyampaikan hadiah.

pada pekebun yang dibangunkan daun,
kau dipilih sebagai semangta paginya.

>.

Begitu juga dengan sajak seperti ‘orang tua di bilik tunggu’, ‘sajak untuk di penakut’ , ‘gunung pagi’. Semua ini dari bahagian - kalau, atau dan maka .

Juga ‘bahasa dan bangsa’ dan ‘setitik air’ dalam aksara usia.
Semua puisi berikut dari maka bermadahlah masa oleh sn muhammad hj salleh.
..

22.9.08

didenda baca puisi


Tadi di sekolah, saya diminta menganti Pn Aliah yang khabarnya masuk ke hospital. Saya masuk ke 2 Perdana. Sekolah saya itu semuanya budak lelaki. Kebetulan pula hari ini ada guru besar baru sampai. Namanya Nordin. Sebelum ini beliau bertugas di PPD. Kata beliau, lagi dua tahun beliau akan pencen. Dari ucapannya yang pertama sekali itu, saya rasa guru besar kami baru ini ok.


Berbalik kepada cerita tentang menggantikan kelas guru Pn Aliah. Saya masuk dan sebelum saya ada dua buah kelas. Macam biasa bulan Ramadan tidak elok marah dan emosi sangat. Aldaulillah saya tengok murid-murid semacam beri respon yang baik. Sekeolah kami oleh kerana dekat dengan bandar Teluk Intan dan murid-muridnya pula terdiri daripada semua lelaki, walaupun SK, jangan anggap mudah.


Saya menggantikan Pn Aliah subjek BM. Saya bukan mengajar BM sebenarnya. Tetapi oleh kerana saya diminta masuk dan kebetulan saya ada bawa buku Maka Bermadahlah Masa kumpulan puisi Muhammad HJ Salleh, datang pula idea untuk mengelakkan murid bising dan masa yang ada tidak terisi apa-apa.


Saya minta murid-murid tertentu membaca puisi yang saya pilih. Lebih daripada lima buah puisi saya minta baca di hadapan, dan membacanya orang yang berbeza-beza. Setengahnya baca begitu lantang dan sesetengahnya perlahan suaranya. Sebenarnya, apa yang saya dapati sekiranya kita ingin menghayati lebih baik sesebuah puisi, adalah lebih baik meminta murid atau orang lain membacanya, khususnya secara sepontan. Ia mungkin membantu anda memikirkan kata-kata, diksi, ungkapan, metafora, imejan yang digunakan penyair. Sekiranya kita membaca secara sendiri misalannya, kemungkinan apa yang kita rasai dan fikirkan itu sekadar mendasar sahaja atau mendatar.


Membaca puisi bagi kanak-kanak adalah sangat baik. Sekarang ini untuk berikan mereka puisi yang bersifat 'sempena' sudah boleh dianggap cara yang basi. Lebih baik atau agak baru sekiranya kita meminta mereka membaca puisi-puisi yang lebih dekat kepada diri, kata-katanya tidak bombastik tetapi sedikit tinggi arasnya, namun tidak menkgapa, murid itu sendiri akan bertanya mengapa puisi itu dipilih dan meminta mereka 'merasakan' apa maknannya.


Sebetulnya saya tidak mengajar subjek sasterapun. Tetapi pengalaman tadi sangat menarik dan saya rasa perlu untuk mencubanya beberapa kali nanti. Kemudian nanti saya akan taipkan di sini puisi-puisi yang telah murid-murid 'didenda' tadi baca.


..

21.9.08

Balik Ke Bagan Datoh



Saya ke kampung, Bagan Datoh. Seperti biasa. Namun akhir-akhir memang saya kurang balik kampung. Mungkin kerana kerja dan alasan-alasan lain. Lagipun bila kampung agak dekat, maka susahlah sedikit untuk saya pulang. Antara rumah sewa saya dan kampung saya tidakpun sampai 40 kilometer.
Tetapi bila balik kampung, saya dapat berehat sekejap. Saya dapat berbuka dengan orang tua saya. Macam biasalah,hidangan ibu nyata menyelerakan. Mak buatkan kuih 'gorah' semalam. Selepas terawih, saya mengunyahnya lebih daripada 8 biji.
Selain sempat menjenguk perpustakaan mini saya. Saya tercari-cari buku Antara Pemikiran A. Samad Ismail terbitan Fajar Bakti berkulit tebal dan A. Samad Ismail Ketokohan dan Kewartawanan terbitan DBP. Kedua-duanya diselenggara oleh A. Karim Haji Abdullah. Buku A. Samad Ismail Journalism and Politics selenggara Cheah Boon Khengpun saya bawa. Serta dua buah novel Kail Panjang Sejengkal dan Detik-Detik Cemas. Sebab apa saya bawa kembali ke rumah sewa saya, entahlah. Tetapi ia akan saya baca dan hirup dalam beberapa hari ini.
Turut saya bawa sekali Memoir Pak Sako terbitan UKM dan Dr Burhanuddin Helmy Pemikiran dan Perjuangan terbitan Ikdas. Saya tidak tahu kenapa saya suka balik ke era sebelum kemerdekaan. Iaitu satu era yang getir dan tergugurp dengan suara tokoh-tokoh penting dan media seperti suratkhabar menjadi medan yang sangat berkesan menyebarkan idealisme perjuangan.
Saya memang terikat dengan tokoh seperti Pak Sako dan A. Samad Ismail. Juga masa di di Matrikulasi, mungkin kerana mencari-cari bahan bacaan saya terjumpa buku Cerpen Kajai di perpustakaan dan saya membacanya, dan tertarik dengan gaya penulisan Kajai walau bahasanya pada era 40-an. Entah pengarang lama sangat unik sekali di mata saya. Saya terbayang macam mana seperti digambarkan orang yang dekat dengan Kajai, seorang yang kuat merokok dan kuku di tangannya hitam kerana rokok, kuat minum kopi dan mencarut. Kajai dikenali dengan pendidikannya di Timur Tengah, di Mekah tidak silap saya dan menurut A. Samad Ismail dalam memoirnya, beliau terkejut bila mendengar Kajai mencarut kepada wartawan di bawahnya.
Tidak hairanlah sikap itu akhirnya menurun kepada A. Samad Ismail, yang saya tidak tahu bentuk macam mana carutan itu. Tetapi dalam cerpen Azizi Hj Abdullah ada menyebutnya sedikit sahaja, pada saya sudah menunjukkan betapa selambanya pengarang dan intelektual itu menggunakan carutan dalam bengkel penulisan bawahnya.
Saya ke Teluk Intan iaitu balik dari kampung, agak pagi lebih kurang 10 lebih begitu. Saya perlu potong rambut kerana rambut saya yang sudah semacam tidak terurus lagi. Saya sendiri rimas dengannya. Tapi memang rambut kalau dibiarkan panjang, akan jelaslah keserabutannya. Saya tengok dari cermin sebelum rambut dipotong, yang nampak rusuhnya wajah saya. Sekarang semuanya 'terang' kerana sudah ditebas.
Saya bawa juga sebenarnya kumpulan cerpen Ingin Jadi Pujangga A. Samad Ismail. Saya sudah baca tetapi cerpen-cerpen tertentu. Memang sesetengah cerpen A. Samad Ismail, jika dibaca terasa segarnya, kerana ada subjek yang semacam tidak luput daripada zaman. Contohnya tentang bagaimana manusia itu berinteraksi dengan kefahaman agama dan sikap manusia yang berbeza-beza tahap pemikirannya dalam agama. Tentulah perihal kehidupan pengarang dan wartawan juga banyak diceritakan dalamnya.

Saya tidak tahu apa yang saya mahu karang- cerpen?. Tapi apa subjeknya?. Sebab itu saya perlukan ubat-ubat dan bius-bius ini untuk menyuntik semangat dan fikiran saya. Sebenarnya jika saudara dapat baca buku Antara Pemikiran A. Samad Ismail, buku berkulit tebal ini banyak menurunkan petua menulis rencana atau fiksyen. Ia semacam garis panduan yang tidak terlalu detail tetapi memberikan banyak ransangan dan dorongan.

Cukuplah setakat ini untuk masa ini.


..

18.9.08

Tentang Kematangan Berfikir


Sekarang secara tiba-tiba semua orang bercakap tentang kematangan berfikir. Padahal berfikir bukan semata-mata objek seksi atau mempunyai nilai ekonominya. Tetapi bercakap tentang kematangan berfikir sudah agak berleluasa sekarang. Bukan sebab pilihanraya 12 (PRU 12) atau perubahan iklim politik. Sama sekali tidakpun berkiatan dengan nilai kelompongan daya ekonomi semasa ataupun kenaikan harga tambang bas dan barangan runcit, namun semua ini memang secara tidak lansung berkaitan atau bersemenda yang rapat sekali dengan ungkapan kematangan berfikir.


Jika kembali kepada zaman Socrates di mana, kematangan berfikir itu tercetus apabila Socrates mulai berhujah pelbagai perkara dan dimulai dengan persoalan dasar seperti keadilan, estetika, agama, sistem, kemanusiaan dan sebagainya. Kemudian dilanjutkan oleh sang failasuf yang bertali arus sehingga muncullah perbagai aliran pemikiran dan falsafah yang mana masing-masing membawa fahaman dan pandangan berdasarkan inti atau isi yang dilihat dan dari mana sisi yang cuba diterokai.


Kepelbagaian aliran pemikiran itu satu tanda yang penting menunjukkan manusia matang berfikir dan mencetuskan idea yang rencam berkenaan realiti kehidupan. Dan sebenarnya, apabila kita berbalik kepada kematangan berfikir yang disebut-sebut selalu semenjak dua menjak ini, yang sangat aktif dan bagai tidak putus alirannnya, saya percaya satu dua daripadanya adalah daripada pandangan yang ‘berbeda’ dan melawan arus. Dan ia bukan petanda adanya satu ancaman, perubahan drastik yang merbahaya atau satu simtom yang negative malahan ia satu bentuk aliran yang beredar mengikut keperluan semasa dan keadaan.
Harus diingat bagaimana sesuatu masalah itu berlaku, tanpa adanya pemikiran matang dan jelas ia tentu akan merusuhi pada akhirnya dan membekaskan kegagalan semata-mata.


Kerana sebenarnya keperluan masa dan sejarah masa kini kepada ‘berfikir dengan matang’ akan mampu memperbetulkan keadaan dan bukan menganggapnya sebagai satu virus yang akan melingkupkan segala yang ada.


Semua tamadun pada asalnya berhadapan risiko apabila timbulnya gejala berfikir secara matang ini. Tidak perlu disebut dengan panjang lebar, tetapi sebagai contoh pemikiran Socrates yang dikatakan akan merosakkan orang muda, Hang Nadim dalam ceritera Sejarah Melayu melalui kisah Singapura dilanggar ikan todak, Imam Ahmad bin Hambal yang diperjarakan dalam penjara apabila teguh menyatakan tentang Al-Quran bukan makhluk, Galileo Galilei yang juga diperlakukan dengan tidak baik oleh pihak agamawan Kristian pada masa itu di mana beliau tetap dengan pandangan sains bahawa bumi ini bulat, Leo Tolstoy yang sanggup meninggalkan kehidupannya yang mewah demi mencari makna kebenaran dan sebagainya.


Tidak kiralah ia bersangkutan dengan sejarah semata-mata ataupun politik, tetapi yang jelas ‘orang yang berfikir matang’ adalah mereka daripada golongan yang celik kepada masalah semasa dan cuba bangun dengan kesedaran bahawa tentu wujud sudah gejala negative yang terselindung yang sepatutnya tidak berlaku.


Maka berfikiran matang dan cuba memberikan satu perubahan bentuk kepada pemikiran streotaip sebetulnya tidak bersalah pada keadaan-keadaannya yang tertentu. Hanya bagi pihak yang tergugat pantas merasai pedih dan bimbang akan kedudukannya. Tetapi bagi segolongan pihak (tidak kira dari mana cabangpun) jika mereka mahu memahami gejala berfikiran matang dan mahukan bentuk yang baharu, mereka sedia menanggapinya sebagai cabaran dan cara untuk memahami pihak yang sedang dalam ‘berfikiran matang itu’. Kesediaan yang bukan untuk menyekat tetapi mendorongnya supaya fikiran itu benar-benar membantu bukan mengheret kepada masalah-masalah yang merumitkan.


Jika dihalusi tentang ‘berfikiran matang ini’, yang kita masih dalam keadaan zon yang belum terlalu matang, ia agak susah untuk memahaminya. Lantaran kematangan berfikir mempunyai ruangnya yang luas, ia tidak sekadar melalui perbincangan atau media massa. Tetapi ia menjangkau kepada penyerapan budaya intelektual kepada masyarakat terbanyak. Ia menyeluruh sehingga kepada masyarakat bawahan dan kesan dirasai seperti diterima dan dipupuk pula oleh tangan-tangan yang mahukan kematangan berfikir itu dipanjangkan.


Jika sekadar dengan fasilitinya sahaja iaitu segi fizikal iaitu adanya yayasan, institut tertentu, ataupun universiti, ia sebetulnya merujuk dan tidak melambangkan apa-apa kepada makna kematangan berfikir itu. Malahan kewujudan bentuk-bentuk itu yang bersifat konkrit dan boleh dilihat dengan mata, tidak semestinya mempamerkan maknawi sebenarnya kematangan berfikir. Malahan itulah salah satu simbol yang dikakukan dengan cara mewujudkannya dan dibekukan fungsinya atau diterhadkan fungsinya kepada satu-satu perkara. Maka kematangan berfikir sekadar untuk orang-orang tertentu dan demi tujuan tertentu dan tidak menyeluruh kesannya.


Jadi, tidak semestinya adanya bangunan dan alat yang cukup sudah melambang kematangan berfikir. Tetapi masyarakat yang berfikir hanya meladeni pengetahuan dan semangat budaya dan nilai positifnya untuk membangunkan persekitaran kematangan berfikir.


Sebetulnya kematangan berfikir lebih besar dan bermakna daripada istilah politik yang boleh disangkutpautkan sekarang ini, namun sebenarnya untuk memahami gejala kemtangan berfikir ini, ia jauh daripada kefahaman kita terhadap apa yang berlaku sekarang meskipun ada takrifan atau rujukan kepada kematangan rakyat dalam berfikir, namun realitinya kita masih jauh dan memerlukan lebih banyak suntikan pemikiran-pemikiran dan idea-idea bagi menjana pemulihan kematangan masyarakat kita.


Sekiranya ia berlaku ia tentu mampu mengimbangi banyak persoalan yang berlaku di negara dan sekaligus membantu memperbetulkan keadaan dan menjadi satu ransangan yang kuat untuk kerajaan mencipta langkah-langkah yang lebih kukuh, tidak sekadar satu bualan dan omongan. Kematangan berfikir bukan lagi isunya, tetapi bagaimana mahu membangunkannya.


Layakkah kita berbangga dengan kemerdekaan ke-51 ini tanpa kemerdekaan berfikir yang matang. Sesungguhnya saya percaya kepada pandangan masyarakat atau bangsa yang banyak berfikir adalah bangsa yang paling bermaruah segi politik, estetika, falsafah dan ekonominya. Ia bermula daripada semua jiwa dalam bangsa itu. Bukan semata-mata dari seorang politikus atau sesiapapun. Tapi ia perlu pemulanya. Perlu peransangnya.



.

16.9.08

Selsema



Bermula dari malam tadi, adik Non datang ke rumah ini dan saya pula tiba-tiba dapat selsema. Hikmah Ramadan bukan!. Kesihatan biasa saja. Tetapi saya asyik 'menyedut' hingusan kerana cecairnya memang kadang-kadang akan 'menjelijeh' -kata orang Perak, jika lembat dibendung dengan sedut yang shek sek shek bunyinya. Kenalah bersapu tangan, menyelap hingus yang 'berjelijeh' itu. Tetapi mujur kerja-kerja saya selesai juga, alhamdulillah.

Saya mulai membaca akbar The Star yang adik bawa daripada tempat tugasnya, bertandang kerana ada tugasan di Teluk Intan. Saya tumpang baca The Star yang 3 hari itu, dan dia sendiri tak punya masa membaca kerana sibuk menyediakan bahan untuk kerja.


Saya baca tentang tindakan ISA kepada 3 orang itu. Saya baca juga tentang Zaid Ibrahim yang mahu letak jawatan, sebelumnya saya baca dari blog Kadir Jasin. Saya fahamlah tentang kalutnya politik semasa, berbelit-belit ikatannya dan seolah sukar diurai.


Selepas 16 Sept, yang tidak 'mujarab', entah kenapa saya belum pantau dan selidik, tetapi ia sudah mencari bualan dan isi komenter dari ramai pihak, tidak kira orang politik atau rakyat biasa. Menumpang meluahkan isi hati dan mengecam kebohongan tarikh itu dan lain-lain melata-lata. Kita boleh dengar dan tengok ia memang realiti yang sangat menghairankan.


Tetapi jika mahu 'cool' ia bukan satu yang menghairankan sebenarnya sebab apapun yang berlaku sebetulnya, merujuk kepada masalah politik yang di luar kawalan. Memang tidaklah serencam mana kalutnya, tetapi ia sudah menunjukkan wujud pertembungan yang sangat panjang dan entah bila selesai.


Di pihak media arus perdana, yang menjadi sasaran adalah dari PR. Dan dari sebalik, sama yang menerima kritikan adalah kerajaan. Pening juga untuk membaca realiti sekarang ini. Dan daripada ini timbul macam-macam 'teori atas angin'. Yang politikus tentulah dengan teori-teori atas anginnya yang seolah2 minyak angin, elok untuk urut pinggang yang lenguh dan sebagainya, dan bagi rakyat ia semacam bahan digunakan untuk menambah 'angin' dalam hidup yang sudah sedia rumit ekonominya.


Memang politik sudah tidak langsai, semuanya sudah lebih daripada bubur lambuk lagi.


*Jemput saudara/i, baca Sajak Orang Penakut @ Pengecut dalam ruangan puisi Mingguan Wasilah, 21-27 September 2008.


-

13.9.08

sajak- penangguh & kewajaran sejarah


penangguh

selalunya kepastian punya kelegaan
urat kerisauan meregang
pucuk keletihan melembut

tetapi apabila ditanggani penangguh
ketetapan adalah kealpaan
kesanggupan adalah keterpaksaan
kewajiban adalah kesulitan.

kewajaran sejarah

kewajaran sejarah
tanpa mata dan hati
diri membuta tuli

tiada perasangka mentah
di lingkungan kerumunan lalat
di bangkai hipotesis

tangan di pihak sejarah
terkadang tidak mewarnai rupa dahulu
dengan warna hitam dan putih.

sejarah tidak membetulkan ukuran
kerana kebenaran tidak diukur dengannya
dan selalu retorik di mimbar
akan memutuskan di pihak hadapan.

terpulang kepada
kata suara zaman dan watak dominannya.
13 ramadan 1429
-

12.9.08

Coretan Buat Zamri Mohamad



Terima kasih atas dedikasi beliau dalam blog motivasimindamu.blogspot.com. Saya terasa sedikit terharu dengan dedikasi itu. Sebenarnya tidak ada istilah 'guru' dan 'murid' antara kami. Saya sendiri rasa bersyukur dan bertuah dipertemukan dengan beliau iaitu saudara Zamri Mohamad. Kami sama-sama belajar ilmu penulisan secara perkongsian. Ternyata Zamri lebih cepat mekar dan matang.

Saya masih ingat rencana beliau yang pertama yang disiarkan dalam akhbar. Sebuah dokumen yang sangat penting saya kira untuk disimpan oleh Zamri bagi masa akan datang yang pernah ditunjukkan kepada saya. Itulah tulisan beliau ketika beliau masih di sekolah menengah. Hanya apabila kami di universiti dan bilik yang sama, kami diakrabkan dengan pemikiran dan idea untuk menulis - walaupun track pengkaryaan kami berbeza.

Saya masih ingat kami kadang-kadang hampir setiap hari bercakap tentang buku, pengarang, idea menulis, hal-hal politik dan sebagainya. Bersama datuk yang kami gelaran khusus kami untuk Mohd Firdaus Hamsin, rakan sebilik kami juga, kami selalu bersembang dan berbincang hal-hal kadang-kadang serius. Sekarang mereka berdua sudah 'mengerjakan' buku yang baharu terbit tidak silap saya Mempengaruhi Bos Gaya Streetsmart.

Memang tidak sangka kami jadi kawan yang agak rapat. Saya sendiri hairan semacam mana hubungan itu, tetapi kami agak longgar dalam pertuturan dan kadang-kadang memang sangat kuat bahasa sindiran saya, dan Zamri sendiri bukan orang yang mudah ambil hati. Beliau selalu positive thinking.

Beliau berazam apabila melangkah dalam penulisan dan bermula daripada rencana yang tersiar, dan akhirnya seakan tidak usai-usai idea Zamri menulis, ia semakin pantas berkembang, membiak banyak dan selepas mengatur banyak hasil, untuk mengarap sebuah buku dengan satu subjek tidak sesukar mana rasanya. Zamri menulis pelbagai subjek ketika di univerisiti. Maka tidak hairan beliau juga menghasilkan subjek buku rencam. Beberapa kali rencana awal beliau disiarkan di Utusan, saya menilainya sangat baik. Zamri memperbaharui tulisan rencana agama dalam bentuk yang kontemporari dan lebih mesra.
Kemudian beliau menulis pelbagai rencana yang lain. Dan tentunya di bidang motivasi yang mana beliau uliti sejak daripada dahulu dan ketika aktif bepersatuan masa belajar. Saya tahu zamri begitu gigih menulis dan sehinggalah saya usai di UIAM saya masih ke bilik Zamri, bertandang dan melihat beliau 'mengerjakan' bukunya yang kemudian terbit bawah PTS yang jumlahlah jika diukur dengan usia beliau- agak memberangsangkan.

Karya Zamri yang pertama tidak silap saya Memahami Bahasa Cinta Lelaki. Sangat menarik buku tersebut kerana tulisan itu cuba mendekati cinta dari perspektif yang pelbagai. Zamri sendiri menghadiahkan saya buku tersebut selain buku Cari Duit Sebagai Penulis Bebas.

Jika Zamri ingat, selalunya kami bersarapan bersama di kantin kolej. Masa makan juga masih ghairah bercakap tentang dunia yang kami fikir seolah-olah dunia ini begitu berhajatkan pandangan kami. Kami berdiskusi dengan matang. Saling menerima pandangan dan krtikan.
Mungkin Zamri seorang yang agak peramah, berbanding saya, dan memangpun Zamri mempunyai kawan yang ramai dan pelbagai latar belakang. Beliau bukan sahaja mudah didekati malah luwes dalam memikirkan sesuatu. Pada beliau tiada yang mustahil jika ada kemahuan dan usaha. Banyak perkara manis yang saya teringat masa di Taman Ilmu dan Budi itu, tentang persahabatan kami yang akrab dan mungkin menjadi ingatan saya sepanjang hidup ini.

Saya selalu mendoakan sahabat, saudara dan teman seperjuangan saya ini terus berjaya dengan karakter yang sekarang, dan mudah-mudahan dilimpah rezeki yang berkat dan jodoh yang baik. Amin.

..

Dia Zinedine Zidane


Zinedine Zidane History - The best video clips are here

..

9.9.08

sajak- jika aku

gambar di atas saya dapati di salah sebuh sesawang yang memberi maklumat tentang lukisan realisme magis. pelukisnya saya sendiri tidak kenali.


jika aku


jika aku matahri
kau pula bulan
mungkin waktulah pemisahnya

jika aku burung
kau pula angin
mungkin sangkarlah pemisahnya

jika aku embun
dan kau pula dinihari
mungkin padang rumputlah pemisahnya

jika aku buku
engkau pula gedungnya
maka yang menjauhkan mungkin pencurinya

jika aku rumah
engkau pula tanah
mungkin
sejarah penyudahnya.

9 ramadan 1429
..

6.9.08

terawih, drama, cerpen




1




Kerana Masjid An-Naim, Taman Seri Setia yang terdekat dengan rumah, tiap malam saya berterawih di sana. Menarik atau tidak masjid ini lebih 50% dipenuhi dengan jemaah yang tidak sama usia dengan saya, maksudnya lebih berusia. Majoritinya sudah beruban. Tetapi yang seronoknya bila tiba solat Isyak ramainya sehingga lebih 10 saf. Maklum saja selepas angka rakaat 8 terawih, terus saja berkurangan kepada 3-4 saf.Kebiasaannya di mana-mana masjid begitulah agaknya.

Tadi saya buat 8 rakaat sahaja. Lalu saya pulang ke rumah. Terasa otak ini macam dah bersimpang-siur dengan seribu macam perkara. Saya malas untuk melayani, saya pulang mujur bila tv dipasang drama Kaligrafi Cinta sudah terpapar. Saya ikuti saja, tetapi sudah lebih seperempat akhir daripada bahagian drama ini yang sempat saya tengok. Agaknya, barangkali 10 minit sahaja.

2

Tetapi saya rasakan drama ini sangat baik dan menarik. Saya tidak pasti jalan ceritanya kerana sempat ditonton setelah terawih. Tetapi mesej tentang kepentingan tulisan jawi yang ditekankan. Skrip yang ditulis oleh Zabidi Mohamad dan diarahkan Jet Lee, terbitan Television Airtimes Sdn Bhd, menunjukkan bahawa drama kita 'masih punya harapan' untuk perubahan.

Dalam 15-10 akhir cerita yang banyak dibumbui dengan imbas balik, saya dapat rasakan ceritanya sangat menarik. Kebiasaannya dalam cerekapun novel baik filem, drama malah puisi, pengakhiran yang baik dan menarik kebiasaannya mengisyaratkan karya itu sedia 'bagus' seadanya.

Saya tidak tahu. Agakan saya drama sebegini harus lebih diperbanyakkan. Saya yakin kita tidak ketandusan karyawan yang berkualiti dan berbakat untuk menghasilkan filem dan drama yang bukan totok intipati dakwahnya semacam didaktik yang disengajakan, tetapi melalui seni dan kreativiti ia dijalin dengan wadah karya yang patut dan mampu menarik perhatian selain menyampaikan mesej. Saya sokong dan percaya karya semacam Kaligrafi Cinta untuk ditambah lagi.


3

Cerpen 360 darjah Merdeka!Merdeka!Merdeka, ada sambungannya daripada keluaran lepas, kini dalam Mingguan Siasah 7-13 Sept 08. Tetapi saya minta maaf atas banyak kesilapan ejaan dalam karya tersebut, lantaran ia disediakan dalam masa yang singkat, hanya beberapa hari dan jumlah perkataannya 5000 lebih.

4

Gabriel Garcia Marquez bertandang di rumah saya. Enak dan memberangsangkan. Manakan tidak karya Of L0ve and Other Demons dan The General in His Labyrinth, memaksa saya untuk membuka kamus lebih 30 kali. Dan memang karya penerima Nobel Prize dalam sastera tahun 1982 itu, tidak mudah dijamah seperti karya-karya sastera biasa. Ini mungkin kerana langgam realisme magisnya yang sangat tepu dengan imej dan watak yang barangkali tidak mudah diikuti ceritanya.

Membaca karya Marquez bagi mereka yang sudah mencubanya (terutama yang asing dengan realisme magis) akan menghadapi kesukaran bagi memahami cerita yang disampaikan. Oleh teknik seperti tidak ada jalur masa yang tetap, plot berjungkar balik, tidak ada pemisahan antara realisme dan magis yang kedua-dua bercampur menjadi satu, menjadikan ceritanya agak 'berat' kerana imej yang lengkap disodorkan, cerita yang mudah tersasar daripada cerita yang asal, sering menghilangkan cerita sebenar dengan membawa pembaca kepada persoalan lain secara tiba-tiba dan teknik sedemikian dianggap antara yang paling 'bertahan' dan mampu membawa kepada aliran pemikiran pengakaryaan sastera yang baharu dan unik.

Aspek keanehan juga dititikberatkan dalam karya sejenis realisme magis. Jadi jangan tidak cuba membacanya.



..






Pak Samad Ismail Meninggal...

A. Samad Ismail meninggal dunia.

KUALA LUMPUR, Sept 4 (Bernama) -- National journalism laureate and freedom fighter Tan Sri A. Samad Ismail died today at the Pantai Medical Centre here at 5.58pm because of lung infection.

Singapore-born Samad, 84, better known as Pak Samad, was warded at the hospital since Aug 24 after experiencing difficulty in breathing.

He leaves behind wife Puan Sri Habibah Hamid and 10 children including bloggers and ex-journalists Nuraina and Maria.

His first wife, Hamidah Hassan died on June 2 1990.

His remains were brought the family home at 2, Lorong 16/7C, Petaling Jaya and would be buried after Friday prayers tomorrow, Azmi Ansar, a son-in-law, told Bernama.
-- MORE
HK HK HA

4.9.08

buku jahiz


Secara lansung atau tidak, saya sukakan esei tapi esei yang macam ditulis secara sesuka hati begitu. Tak, saya mungkin bermaksud esei yang ditulis atas rasa kemahuan diri sendiri, dari fikiran sendiri dan tidak dibatasi mana-mana objektif atau peraturan. Sebab itu, saya pernah baca berulang kali esei ditulis Muhammad Hj Salleh dalam Dewan Sastera sekitar tahun 2000-an, tidak pasti tahun mana, tetapi dalam eseinya penuh dengan ilmu dan maklumat berkenaan sastera dunia. Tulisan Prof ketika itu sangat 'berkesan' segi penyampaian, gaya dan fikiran. Saya juga suka kepada rencana ditulis Hassan Ahmad mantan Pengarah DBP contohnya dalam buku kumpulan esei berjudul Imbasan, SN A. Samad Said yang pernah ke Utusan tapi untuk sekejap, SN Shahnon Ahmad dalam Coret-Coret Berkelonsongan, A. Samad Ismail, Kadir Jasin & Hishamuddin Rais dalam politik, Umur Junus misalannya dalam budaya,Shahrom TM Sulaiman dalam dunia buku dan lain-lain lagi yang sudah saya tidak terlintas pula ketika ini.

Saya juga menjadi peminat kepada buku-buku yang ber'idea' besar macam Syed Hussein Alatas dan adiknya Syed Naguib Al-Attas. Semasa di u, saya suka baca buku tulisan ilmiah tentang sastera Arab walaupun saya makin melupainya kini. Dan sebetulnya saya masih rindu dan mahukan membaca semula karya-karya semacam itu.

Sampailah saya sendiri tenggelam dalam dunia buku, dan saya percaya ketika saya jadi penghairah buku, saya pernah tiba di kedai-kedai buku dan perpustakaan-perpustakaan yang saya tidak jangka ketika itu. Keseronokan dengan buku barangkali panjang tempohnya dan ia akan menjadi sebati dalam diri. Dan selama mana ia menjadi panjang selama itu saya belum mampu menyebut apakah jenis keghairahan yang saya alami. Tapi memang benar, setelah bercinta dengan buku dan mengenali keghairahan penggilanya, lalu kita kagum pula dengan tokoh-tokoh, antaranya Jahiz yang dari golongan atasan tetapi mempunyai minat yang sangat mendalam terhadap buku dan semacam beliaulah menjadi idola saya.

Jahiz bukan sekadar pembaca buku yang lahap, malah penulis yang sangat prolifik, sehingga ensiklopedia Hayawan (Haiwan) tulisan beliau agaknya belum ditandingi oleh ensiklopedia perseorangan yang lain. Kemudian tulisan beliau yang lain seperti Al-Bayan Wa Al-Tabyiin sebuah karya mengisi perbahasan berkenaan retorika Arab, balaghahnya dan berkenaan dengan linguistik. Tulisan Al-Bukhala' pula berkenaan kumpulan cerita dan anekdot tentang orang-orang bakhil kedekut pada zamannya. Kemudian terdapat tulisannya berbentuk surat atau tulisan yang pendek tetapi mengikut tema/subjek dikumpulkan dalam Ar-Rasail, tulisan berikut berkenaan macam-macam tema dan subjek, yang antara sempat saya baca masa di u berkenaan dengan Al-Qayyan, iaiati istilah semacam geisha di Jepun. Memang zaman Abbasiyah memang ada budaya hedonisme itu, tetapi mungkin dalam kitaran yang munasabah lagi seperti digambarkan dalam tulisan ulama dulu. Eh, tulisan mereka sebenarnya memang mengambarkan hal sebenar dan tidak berlapik-lapik lagi. Kerana itu barangkali tamadun ilmu Islam pada kegemilangannya 'terpandang'.

Jahiz bermaksud mata yang tersembul. Dikatakan Jahiz ini bukan hensem orangnya. Tetapi namanya besar sebaai seorang ilmuwan yang besar. Dikatakan tulisan prosanya dikenal sebagai pencetus penulisan prosa yang hebat dan genius. Cuma Jahiz berakidah Muktazilah, malah beliaulah pemukanya. Namun jika dibaca riwayatnya selama di berada di mana-mana, pasti dia akan membaca dan memgang buku. Pernah dikatakan beliau menyewa sebuah kedai buku dalam satu tempoh untuk membacanya dan menelaahnya. Sehingga kini ada jalan yang ada deretan kedai menjual kitab di Banghdad dinamakan Jahiz sempena namanya.

Saya secara peribadi menjadi minat kepada buku bertambah lagi bila baca pasal Jahiz. Saya menjadi peminat kepada buku, kedainya dan tempat atau gedung yang menyimpannya macam perpustakaan. Membaca memang pengalaman yang sangat unik, kerana membaca memperkenalkan kita kepada dunia yang tidak 'enak' tetapi dengan suasana yang beradab. Dunia yang beradab dengan harmoni dan seakan utopia. Dunia yang melekakan diri dan sehingga terbawa-bawa ke mimpi. Dan saya pernah bermimpi tapi tidak ingat sedang membaca buku atau memegang beberapa kali.


-





2.9.08

dingin ramadan yang memeluk



Seusai solat terawih, dengan hujan yang sudah turun kala kami solat di masjid, tak tersangka saya, mata sudah kedip-kedip dan seakan mahu disorong ke bantal. Macam orang kita selalu cakap, orang ngantuk disorongkan bantal. Beberapa biji bantal di rumah memang sudah bersedia, mempelawa atau dipelawa.
Tapi saya jelas dengan beberapa fikiran yang memutar-mutarkan objek, mudah minta untuk dipermudah lagi. Dan saya semacam belum benar-benar mahu bersekongkol dengan 'pendatang haram' yang dibebelkan emak tidak berapa lama dulu, dan saya semahunya objek dan bebelan itu diturunkan daripada layar khayali saya, dan dicereka dengan munasabahnya. Saya yakin, ia menarik untuk ditatapi jika saya betul-betul menceritakannya dalam cerpen.

Pun begitu mata masih menuntut sesuatu. Bagai orang menguap disorongkan bantal, malah dicampakkan tilam, dan tidak sesiapapun menolak. Waktu hujan turun membelai muda malam, fikiran sudah menipis, dana sebetulnya memang untuk menconteng-conteng kerta waktu seperti sekarang, kurang berkesan mungkin.

Memang mata saya sudah lembut, kudup dan redup.


+ Jemput saudara/i baca Wasilah bil 77(40) 7-13 Sept. 2008. Cerpen Sebuah Volkswagen Tanpa Bernombor Plat.

Maaf, jika cerpen ini agak merapu sedikit.
.
.

1.9.08

Satu Ramadan




Sekejap masa, hari ini Ramadan yang pertama.
Saya mahu menulis, tapi liat dan lenguh datang. Fikiran ke yang terganggu atau perasaan. Saya tidak pasti. Saya sebenarnya memang terganggu dengan beberapa keadaan, tapi dalam masa yang sama amat selesa dengan kehadiran Ramadan. Begitu selesa terutama waktu solat Magbrib, Isyak dan Terawih.
Saya mengharapkan Ramadan kali ini melimpahkan keberkatan kepada diri dan kesedaran saya.

+ Jemput beli dan baca Milenia Muslim bulan September ini. Rencana Membanyakkan Filem Kemanusiaan.

Saya tidak pasti hendak apa ditulis lagi. Tapi ada subjek yang memang terbayang di kepala. Tetapi bila malam tadi saya tengok tivi sebelum ke masjid untuk solat Isyak, berita keadaan kesihatan A. Samad Ismail yang semakin teruk, mengingatkan saya kepada beberapa wajah orang yang besar dan berjasa meninggalkan pada waktu dekat-dekat.

Saya minat tulisan Pak Samad, saya ada baca tidak silap tulisannya yang paling awal saya baca buku Pemimpin Dan Sasterawan. Buku ini menerangkan bagaimana A. Samad Ismail mencurahkan pengalaman kepengarangannya khususnya dalam fiksyen. Saya ada membaca dan membeli beberapa karya beliau antaranya Patah Sayap Terbang Jua, Kail Panjang Sejengkal, Kumpulan Cerpen Ingin Jadi Pujanngga dan lain-lain. Buku A. Samad Ismail Ketokohan Dan Kewartawanan diselenggara Abdul Karim Haji AbdUllah, Antara Pemikiran A Samad Ismail yang mengumpulkan banyak rencana pentingnya. Memoirnya di Singapuranya saya baca namun tidak berpeluang untuk memiliki. Saya memang menyangjungi tulisan-tulisan beliau yang banyak dan membuka ufuk pemikiran.

Dikatakan ramai pengarang, politikus, pemimpin yang menjadi anak didik beliau dan ramai yang membangun dengan membaca tulisan beliau. Selain daripada pengalibatan belaiu dalam perjungan nasionalis, dalam kewartatawanan dan dalam penulisan sastera sangat banyak jumlah karya, tidak dinafikan beliau sudah merakam rencam zaman dan masyarakat dalam karya-karya beliau. Moga Pak Samad sembuh dan diredai-Nya.
--