29.12.08

Upih Opah

Alhamdulillah, sebelum menutup tahun lama dan memulakan tahun baharu cerpen yang saya tulis judulnya Upih Opah keluar di Utusan Melayu, akhbar tempatan jawi tunggal. Saya gembira dengan penyiarannya. Terima kasih kepada Utusan Melayu kerana memberi ruang. Ia akan disambung keluaran mendatang.

.

26.12.08

Nota sebelum Tahun Baharu



Selamat Tahun Baharu Hijrah atau biasa dilafazkan Ma'al Hijrah.


Selamat bagi mereka yang meraikan Krismas. Selamat bagi yang meraikan Tahun Baharu Masihi.


1. Saya bersyukur Alhamdulillah dengan anugerah usia yang Allah s.w.t berikan dan seronok yang saya lalui setiap hari. Saya masih dengan buku, membaca dan sering juga menulis untuk mencari rezeki yang halal selain memberikan pandangan terhadap apa yang berlaku. Saya tidak sangka tahun 2008, rupanya (selain peningkatan umur, ya makin tua!) memberi dorongan kepada saya menulis secara serius walaupun tidak sepenuh masa. Saya percaya semua penulis akan merasakan hal yang sama, iaitu rasa bersyukur apabila karyanya diterima atau disiarkan.


2. Pagi tadi saya ke kedai buku tunggal di Bandar Menara Condong ini. Jangan saudara naif sangat bahawa hakikatnya memang kedai buku di sini hanya satu dan mungkin tidak mampu memenuhi kehendak ulat buku, saya rasa. Tapi untuk menampung keghairahan yang membusa dan meluak mengelegak dan apa-apa sahaja yang menunjukkan rasa mahu yang tinggi membeli buku baharu, bolehlah dan cukup untuk nyawa-nyawa ikan.


3. Saya sempat membeli sebuah buku. Saya percaya buku ini menarik ditulis oleh Aaidh Ibn Abdullah Al Qarni. Saya percaya buku ini pada saudara menarik juga. Buku apa? rahsialah. Bukan buku La Tahzan yang memang sudah meledak itu. Tetapi Dr Al-Qarni antara pengarang motivasi muslim selain da'ie sudah mempamerkan bahawa lewat tulisan daripada bahan-bahan literatur Islam klasikpun boleh menarik malah mempunyai kuasa melebihi daripada yang lain.


4. Ya, mungkin kita kata buku Edward De Bono sudah meruak ke mana-mana dan meresap masuk dalam mana-mana pengurusan korporat misalnya tetapi harus diingat, mungkin pembangunan rohani adalah pembangunan yang paling sukar dan 'keras' untuk ditembusi. Saya percaya mereka yang membaca karya Dr Al-Qarni secara ikhlas dan jujur akan menimba sesuatu yang besar dan bermanafaat.


5. Nampak cuti makin dekat. Tahun baharu mengganti baju. Semacam saya menghidupkan cukai jalan dan insuran kereta. Selain membayar sewa rumah dan lain-lain hal. Namun saya sangat bersyukur kepada-Nya kerana tahun ini saya dapat mencapai yang saya sendiri tidak meletak target sedemikian, walaupun pencapaian ini baru permulaan dan tidak besar. Saya hanya hamba yang kerdil dan suka belajar melihat manusia. Itu yang saya cuba fikir dan kongsikan.


6. Oh...sajak-sajak ada terbaring sana sini tapi saya cukup culas untuk memilih dan menaipnya. Nanti saja ya, InsyaAllah.


.

19.12.08

Letih leteran Bahasa Melayu




Letih saya berkejar sana sini. Lari seolah mendapatkan sesuatu dan dalam masa yang sama memberikan sesuatu kepada orang lain. Apabila gaji itu masuk, biasanya ini yang almaklum berlaku. Saya tidak dapat lari daripada hal ini. Duit masuk, mesti keluar dan masuk ke daerah lain. Wajib begitu!.



Tapi sebelum letih tadi, saya yang daripada kampung perlu ke Teluk Intan (pulang ke kampung sekejap sebab berehat), dalam perjalanan ke mari, melalui radio kereta yang dipandu sendirian, saya dengar lagu orang putih. Pada saya, radio orang putih yang tidak berapa putih itu lebih baik daripada radio orang kita yang semacam orang putih kecuali radio Klasik Fm agaknya, sayapun jarang dengar dan IKIM. Selain daripada dua itu, stesen radio yang lain, lansung pada saya cacamarba sifatnya.



Sebabnya, (bukan sebab sudah jadi pejuang Bahasa Melayu pula) Bahasa Melayu yang digunakan sangat rendah dan melemahkan fikiran. (Bukan kerana saya seorang pembaca buku serius, sebab saya baca semua). Tapi masalahnya apabila perkara hanya dirasai segelintir manusia seperti Hasan Ahmad, mantan Pengarah DBP yang saban bulan menulis tentang Bahasa Melayu atau bercakap tentang Bahasa Melayu, Prof Awang Sariyan dan lain-lain lagi. Saya tidak lansung semartabat mereka, tetapi apabila saya mendengar radio yang menggunakan Bahasa Melayu terutama yang menggunakannya penyampai radio berbangsa Melayu, saya rasa mereka telah mencabuli Bahasa Melayu (seperti disebut para pejuang bahasa).



Saya yakin jika dituturkan dengan baik dan elok (bukan terlalu lemah gemalai dan sebagainya) tetapi berhemah, Bahasa Melayu itu seakan bahasa yang sangat menonjol keindahan dan mandirinya. Saya tidak nampak kenapa Bahasa Melayu kita diperkecilkan secara tidak sedar oleh orang yang mengaku Melayu!.



Secara tidak sedar, itulah yang berlaku kepada Bahasa Melayu di tangan penuturnya. Malah jika mendengar orang India atau Cina bertutur, Bahasa Melayu mereka lebih baik, saya jamin. Kerana itu selalu juga saya mendengar radio stesen Inggeris, bahasa Inggeris yang digunakan tidak merosakkan pemikiran dan melegakan diri saya. Bahasa asing itu ditutur dengan baik atau memuaskan tetapi tidak sampai mencabulinya.



Televisyen terutamanya rancangan yang berorientasi hiburan sangat menunjukkan hal pencabulan ini. Saya yakin, ia berlaku dengan rakus sekali. Seperti rancangan Glamor yang dikendalikan Linda Onn. Saya takut dengan Bahasa Melayu yang digunakan. Ia tidak lucah atau sebagainya tetapi, diri orang tahu akan dapat merasakannya. Ia lebih teruk berbanding Melodi (mungkin subjektif sangat kerana peribadi sifatnya pandangan ini). Malah Melodi (yang terbaru saya tidak tahu sebab saya sudah tidak tonton) agak mengecewakan.



Bukan semestinya Bahasa Melayu itu digunakan dengan tatabahasa yang terbaik, langgam bahasa yang semacam sastera, tidak!. Tapi gunakanlah dengan munasabah sekalipun tahu khalayak anda adalah dari golongan muda kebanyakkannya. Sepuluh tahun lagi tidak mustahil jika hal ini berterusan, Bahasa Melayu akan semakin tidak memiliki ruhnya. Tinggal sekadar jasad yang kaku. Tidak ada rasa ia adalah bahasa ibunda malah ia hanya sekadar bahasa kepada sesuatu bangsa sahaja. Tidak mustahil Bahasa Melayu akan banyak gejala bukan sekadar bahasa slanga atau rojak, mungkin macam-macam lagi.



Perjuangan pejuang-pejuang Melayu itu betul di landasannya lantaran mereka tahu apa yang berlaku sekarang. Apa yang mereka sedia saksikan dan resahkan. Apa yang sudah parah dan bernanah. Semua itu sudah jelas. Pak Menteri tidak mungkin tahu hal ini. Mereka hanya mungkin tahu Bahasa Melayu itu hanya bahasa. Tidak lebih tidak kurang. Maksudnya singkatnya fahaman mereka tentang bahasa dan apa yang ada dalam bahasa itu.



Mengapa kita terlalu bersikap prejudis kepada perjuangan Bahasa Melayu. Bahasa Melayu adalah harta orang Melayu yang terkaya dan terakhir sekiranya tanah atau hak orang Melayu hilang. Saya percaya hal ini. Bahasa Melayu boleh memberitahu bahasa dia orang Melayu, iaitu bukti paling basah dan terakhir bahasa itu milik bangsa itu.



Kita kena percaya bahawa memperjuangkan bahasa bukan sama seperti memperjuangkan bangsa. Dua hal ini berbeza sama sekali. Dari semua segipun jika dibedah, dua hal ini nampak berkaitan, tapi punya perbezaan yang besar sebenarnya. Bahasa berkaitan pemikiran, budaya, analogi, falsafah, sastera, emosi, jiwa dan sebagainya bagi orang Melayu. Corak Melayu boleh dilihat daripada bahasanya. Tamadunnya pun. Bangsa Melayu adalah orangnya. Bukan jiwanya sepenuhnya. Atau apa-apapun. Bangsa itu sama dengan bangsa lain dari segi nilaiannya. Jauh beza.



Bahasa lebih kukuh dari bangsa walaupun tiada bahasa jika tiada bangsa. Kalau contohnya suatu bangsa hilang dari bumi ini, barangkali kita tidak mungkin menemui bangsa itu lagi. Tidak dapat melihatnya atau sebagainya. Tetapi bahasa, mungkin akan kekal dalam buku, sebutan, tulisan, falsafah dan lain-lain. Daripada itulah bangsa itu akan ditakrifkan...



Letih...sebenarnya cerita letih saya dah tersasar. Maaf.



.

16.12.08

Kasut dan Toyota Camry


1. Satu pengajaran barangkali.
1.1 Aku terkejut dengan berita ini sebenarnya. Ikutkan kemanusiaan dan agama, jangan kita perlakukan orang seperti apapun kerana agama menuntut kepada kasih sayang dan keadilan. Walaupun sebesar mana kesalahannya, wajar dia dilayan baik. Tapi segi memang kesalahannya sudah banyak dan kesannya berpanjangan. Nah! terimalah. Entah, fikir-fikirkanlah.


2. Toyota Camry. Pandangan awal mungkin boleh katakan, ada silapnya jika menukar kenderaan. Saya belum dapat cerita versi sebelah Pakatan Rakyat, tentunya MB Perak atau MB Kedah. Sekarang ulasan daripada pemimpin kerajaan, ramai yang mengatakan membazir dan tidak patriotik. Politik memang begini. Mesti ada bom dibaling kalau kubu tidak dijaga. Itulah sajalah. Apa pula kata MB Perak & Kedah.

12.12.08

catatan condong

Perubahan

Perubahan bermaksud perihal berubah, peralihan, pertukaran (lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007, DBP). Perubahan salah satu fenomena manusiawi yang jelas menunjukkan sifat manusia atau makhluk bagi segi sesuatu. Ia proses dari pra-matang kepada matang dan seterusnya atau daripada sempurna kepada kemundurannya. Perubahan juga mengaitkan sistem yang dicipta manusia. Perubahan dalam sosial selalu dikaitkan dengan gejala, nilai, budaya, imej dan sebagainya. Politik juga berubah kerana manusia diciptakan sebagai pemain dalam politik itu. Ekonomi, tamadun, falsafah, pendidikan dan bidang atau disiplin ilmu yang lain akan berubah mengikut peredaran waktu dan faktor-faktor tertentu.

Berikutan perubahan yang bakal berlaku dalam politik masa terdekat ini iaitu kepimpinan negara daripada satu figur kepada yang lain, tentu akan melazimkan perubahan. Fikiran manusia normal selalu berhajat kepada perubahan supaya berlaku dalam sebuah sistem yang lebih baik atau menguntungkan. Selain daripada sebab-sebab alamiah yang juga mewajarkan sesebuah sistem itu berubah.

Namun, di sana adakalanya yang menuntut kepada perubahan yang agak kritikal. Misalnya perubahan sikap pemimpin, pegangan, corak tindakan, ransangan terhadap sesuatu, strategi dan lain-lain lagi. Apabila seseorang ditukarkan dengan yang lain, (kerana manusia itu tidak seragam sifatnya), pemikirannya dan tingkah lakunya akan cuba mengubah sistem yang sedia ada. Sesetengahnya sangat membencikan status quo, lalu digembeleng kuasa yang ada untuk merubah sesuatu agar impaknya dapat dilihat orang orang lain.

Dalam konteks politik, yang membolehkan sesuatu itu berubah adalah dengan mendapatkan kuasa. Perubahan di peringkat hanya dapat diuraikan dengan kuasa. Dan dengan itu perubahan ini lazimnya akan menjadi perhatian malah terkadang mempunyai kontroversinya.
Pemilihan kepimpinan yang bakal berlaku tidak lari daripada fenomena perubahan. Sebelum inipun, konotasi perubahan disebut dengan meluas daripada pihak kerajaan dan parti-parti yang bersama dengan kerajaan. Di pihak parti alternatif, lebih selalu menyebutnya kerana perubahan sistemlah yang menjadi subjek utama mereka. Pun begitu perubahan sistem atau politik jika dilihat daripada senario semasa, amat bergantung dengan pemikiran kepimpinan utama.
Perubahan hanya akan menyerap apabila terdapat sikap komitmen dan konsistensi untuk mengadakannya wujud dalam mindset pemimpin.

Soal politik wang dan rasuah juga antara yang diberikan lampu hijau oleh pihak kerajaan sendiri, untuk menanganinya sehingga dikatakan usaha ini dipandang kini dengan serius. Tidak hairanlah konotasi perubahan ini juga sangat ranum pada setiap zaman khususnya dalam medan politik. Jika sesuatu sistem bermasalah, maka akan wujud suara menyata ‘kita mahu perubahan’, dan secara adatnya golongan ini akan mendapat perhatian dan sokongan. Tetapi sejauh manakah perubahan itu direalisasikan sebagaimana dicanangkan.

Tambahan pula, perubahan di peringkat kuasa inilah yang sebenarnya sukar untuk dijalankan. Tidak kira dari mana parti politik dan sesiapa sahaja. Untuk menyebut perkataan perubahan mudah, tetapi menjadikannya nyata, bukan seperti difikirkan. Mungkin kita perlu belajar bagaimana menjalankan sesuatu selepas menyatakannya- cakap serupa bikin. Kerana bercakap tanpa mengambiltahu isi dalam sesuatu perkara atau gagasan, tidak lansung selari kualitinya dengan tindakan.

Lebih ketara lagi, jika perubahan itu dijanjikan kepada orang lain atau rakyat. Maka hal ini lebih besar dan sukar. Manakan kita tahu masa depan yang mempunyai masalahnya sehingga tidak mampu mengadakannya. Ini satu persoalan yang wujud dalam real politik kita. Tetapi di sana memang jelas ada singnifikan perubahan yang boleh dibuat tetapi dalam masyarakat kita, ia mudah untuk dilakukan. Entah kenapa, tanya dan selidiklah ia secara berhemah.

ps= Catatan ditulis tanpa bermaksud merujuk kepada pilihanraya bulan depan terdekat itu. Tapi begitulah politik yang selalu membuatkan hairan kita beranak-pinak, kadang-kadang sampai tidak mampu melayaninya.

.


10.12.08

coretan


malam penuh rupa
gugur satu persatu di bayangan
siang
mungkin masa sudah suntuk
untuk keluar dan bertemumu
sendu sudah cair kehijauan
menemui rumah-rumahnya
yang melopak
membalikkan rupa
ke dagumu yang bersih bulu
yang muda dicalit ceria
ku terus menunggu
di antara jemarimu
sanggup dan ikhlas
melemas mudah
tidak langsai-langsai
mengalir-ruah rupa yang lain
tiada meniru atau mengajuk
mimpi atau bohong lama
semuanya yang ada
meluaskan mimpi
membuka sempadan tangan
tiada di jari
tiada bibir
hanya di hati
yang menyerupai cinta
kepada suatu kebenaran
tidak ada siapa mampu menciptanya
(tentunya dari manusia)
kerana ia sudah tersedia dirinya
tetaplah dengannya


10-12-08

.

4.12.08

dari laman kampung

tiada tulisan di sini
atau sajak dikutip
sebagai kenangan

terus diamlah cengkerik
yang berbaki
di tepi rumah sepi

menghantar lagu yang perlahan
namun tajam pisau sembelihan
memulakan pengorbanan

tinggallah darahnya di sini
menyebati diri dengan bumi
di sini tulisan menjadi gizi
kepada buminya

angin menyepuhkan bahasa suam
atas wajah diam sukma.

3.12.08

selamat hari raya aidiladha
semoga haji mereka mabrur