27.2.09

marah

Puisi Marah

Tradisi diujar dari uban atuk
jambang putih ayah
mengimbangi ingatan
kemarahan
paling rumit di tanganku

Kerana dikisar perasaan atau emosi
banyak yang terlupa
apabila sezarah nyala api
merebak cepat
menitip kuat lalang kering
bagai elektrik atas air
memusnahkan sebabak renungan.

Kalau sedang memupuk pahala
dosa menyemarak atas meninggi
awan menguntum dari jauh
tetap terasa bahang panas mentari.

Padang rata dipenuhi penghuni dari belalang
dan semut hitam
mengelepar dimasak ketakpastian
mangsa menamakan apa sajadi hadapan kemungkinan.

Takrifkan marah;
sukar dalam tangan untuk melepaskan
Nabi berpesan dulu lebih awal
jangan marah, jangan kau marah.
Hingga kau duduk ketika berdiri lantas bersuci.

26.3.08
.
catatan:

Sajak ini antara sajak awal yang disiarkan di media cetak. Ia disiarkan di Mingguan Wasilah, tapi tarikhnya saya tidak ingat. Saya hantar sajak ini 30, bulan Mac 2008. Saya tahu ia tersiar apabila saya dapat 'sagu'nya mungkin dua bulan kemudiannya.

Sekarang, politik kita agak tinggi suhunya. Bukan main panasnya. Bukan dirasai orang politik secara lansung, orang bukan politik juga. Malahan rakyat bawahan juga dapat merasainya tambahan ketika ekonomi yang begitu kalut sekarang ini.

Bila rakyat marah, macam-macam boleh jadi. Bila orang marah, emosi akan meluap-luap. Kejadian tak diingini bisa terjadi. Rakyat, lebih-lebih terasa dengan ketidakseimbangan keadaan, lantaran merekalah selalu menjadi mangsanya.

.
mata kantuk tapi tangan disuruh menaip
hendak berceloteh
jari akan melatah
di bulu halus mimpi

semalam atau kelmarin saya membaca neruda
rautan katanya mengesankan
labirin puitis
padat dengan nama-nama baru
dari hutan asing

.

sehari dua ini saya tidak membaca
ada. sebetulnya, tapi saya tak puas
terpotong-potong di tengah jalan

.

sajak menjadi
ada yang tidak menjadi
cerita ada yang separuh rasa

.

ekonomi mercup
sempit dihimpit krisis
sesak pekerja
semua terasa

.

terlintas di kepala;
sejak bilakah kita dijadikan hamba?
sedangkan katanya kita ini merdeka

.

sejak bila kita jadi pengikut fikiran orang
yang belum tetap benarnya

.

falsafah masa

tumpat
cepat hilang
kering
seni

.

24.2.09

bahasa terindah

lirik lagu

"Bahasa Terindah"

Yang diucap dalam bahasa terindah.
jawapan yang bertanya didengar nabi.
antara kagum dan khusuk setiap ayatnya.
lereng gunung menjadi amat sunyi.
suara saja tegas bergema.
disampai arah berkias maksud serentak,
tapi jelas intinya.
tidak sedetikpun Allah menghindar.
atau mencemuh nabi disisi segala didoa.
dipenuhi segala yang dipinta tulus dan,
penuh baraqah.
yatim ia tak berlindung,
tidakkah tersedia juga bumbung baginya.
awal begitu bergantung,
kini tidakkah merdeka,
bebas hidupnya.

lirik: Dato' A Samad Said
lagu: Ramli Sarip


.
+ penulis =

ayuh bahasaku
ayuh wira yang dalam yakin
dan benar
ayuh bahasaku
mara mencari
hakmu
ayuh saudara-saudaraku


18.2.09

sastera rumi



1. Apa itu sastera?

Untuk perincian, rujuk pada banyak buku yang menerangkan subjek ‘apa itu sastera’?. Ia panjang dihuraikan. Pada awal penglibatan saya dalam ‘sastera’, saya membaca banyak bahan yang berkenaan sastera. Dari buku sampai ke makalah. Sehingga ‘faham sastera’ itu mendominasi sudut pandangan tersendiri saya. Sama ada anda dalam bidang sains dan teknologi, atau apa-apa sahaja- sastera di antara bidang yang tua dan panjang sejarahnya. Ia menyerap masa dan menjadi mandiri peranannya dalam sesuatu zaman. Sehinggalah zaman itu menjadi lengkap kerana wujudnya peranan sastera dalam peta tamadun.
Barat memperkenalkan sehingga kini Shakespearelah pengarang besar mereka. Lanjutan itu nama-nama pengarang besar lain dari benuanya dilestarikan dalam banyak bidang, dan kaitan nampaknya lansung dengan pemikiran dan perubahan dan kemajuan sesuatu bangsa itu. Berjejeranlah nama-nama semacam Tolstoy, Beckett, Camus dan banyak lagi. Nama-nama ini susah hendak dipadamkan dalam peta tamadun mereka. Semacam satu kebanggaan apabila memperkenalkan atau memetik kata-kata salah seorang dari pujangga besar mereka.
Di Timur, juzuk atau belahan sifat ini sedikit kurang keperihatinannya, khasnya di Alam Melayu kecuali akhir-akhir ini walau masih perlahan. Rata-rata kita kurang menghargai dan menyebut-yebut nama pengarang kita, padahal merekalah ‘ahli fikir’ yang melakukan kerja besar, mengkorpuskan pemikiran, citra, budaya, jatidiri dan pandangan hidup sesuatu bangsa. Nama-nama mereka tidak dikenali. Berapa orang yang kenal Hamka sebagai novelis muslim, Keris Mas dan ratusan malah ribuan lagi dari Alam Melayu ini. Mereka inilah mengalas tugas memperkayakan wadah sastera mengikut acuan zaman itu.

Dan yang paling jelas, apabila politik tidak digunakan untuk ‘membajai’ tanah subur ini, maka yang berlaku selalunya mementingkan material berbanding pemikiran dan ketulusan. Padahal hanya dengan mengahargai keintelektualan dan kegeniusan pengarang, dapat kita membesarkan dan memperkayakan lembah tamadun yang belum cukup bermakna buat kita.

2. Puisi atau prosa dulu…


Kira-kira 7-8 tahun dulu, mula-mula masuk, sebagai pelajar Bahasa Arab dan Kesusasteraan, saya rupa-rupa sudah tersilap mengambil subjek yang agak berat pada semester pertama (semester 3, pendek) pada masa itu. Saya selamba menjawab bahawa saya tidak tahu itu subjek untuk tahun 2. Memang betul, malah yang mengambil subjek itu dalam kelas itu adalah pelajar-pelajar yang jauh lebih senior dari saya. Tapi saya tidak ada masalah untuk faham apa yang disampaikan oleh Dr Usama yang berasal daripada Sudan itu. Boleh kata saya jadi ghairah pula mempelajarinya.
Subjek itu berjudul Sejarah Sastera Arab Klasik. Satu daripada hal yang dibincangkan dalam subjek itu, manakah yang lebih timbul antara puisi dan prosa. Ada dua pandangan. Ada yang mengatakan prosa timbul dulu. Ada yang mengatakan puisi timbul dulu kerana ia datang daripada orang-orang Arab dulu yang berperjalanan jauh dengan menaiki unta, melalui perjalanan jauh itu dialunkan rentak atau semacam nyanyian untuk mengiringi perjalanan mereka. Begitu juga ia wujud bila melakukan kerja kolektif dan berat, lagu dinyayikan untuk meringankan beban kerja.
Dari situlah puisi dicipta. Prosa, dikatakan daripada bahasa harian diucap tiap hari. Antara prosa yang ringkas wujud pada masa itu menurut orang Arab adalah ucapan pertunangan yang mana menekankan keindahan dan estetika bahasa pada untaian kata itu. Kemudian barulah ia meluas dalam ucapan, penulisan surat, cerita, maqamat dan lain-lain lagi. Dalam Alam Melayu, rasanya setakat pembacaan saya hal ini tidak dibincangkan. Lebih elokpun. Tapi disebabkan bahasa dan sastera Arab itu dikesani lebih lama, sebelum kedatangan Islam lagi iaitu sastera jahiliyyah, pengkaji membuka seluas-luasnya perbincangan dan sebarang hal berkiatan yang munasabah dibincangkan. Lagi pula pada peringkat awal sastera Melayu dibicarakan oleh orientalis dan tentu sahaja tidak lengkap dan tidak mandiripun asasnya.

Saya dapat rasakan betapa hawa pada kelas-kelas awal yang saya hadapi masih boleh dirasai lewat indera dan ingatan, sangat menakjubkan antara saya dan masa lalu. Antara saya dan sastera.


3. Maulana Jalaluddin Rumi

Saya mencari Amir Hamzah, Chairil Anwar, Neruda, Muhammad Hj Salleh dan banyak lagi sebelum Maulana Rumi. Nama ini sudah lama saya dengar, cuma kesempatan dan kehendak untuk membuka halaman karyanya tidak ada. Saya pernah membaca tentang Rumi, tapi tidak serius. Saya tahu Rumi menulis banyak puisi selepas ketiadaan sheikhnya. Saya pernah baca puisi Rumi kaya dan mistik. Saya pernah dengar macam-macam tentang Rumi. Cumanya mungkin sebab saya punya perasaan sedikit skeptikal terhadap aliran-aliran tasawwuf, menyebabkan saya selalu menghindari dari Rumi.
Saya beli Fihi Ma Fihi lebih dua tahun dulu dari Fajar Ilmu di Jalan Masjid India; salah satu bahagian penting dalam Diwannya, namun tidak serius membacanya. Tetapi saya mulai lentur dengan puisi-puisi yang baru beberapa yang saya baca daripada ribuan baitnya yang panjang-panjang, dan terasa puisi-puisi Rumi memang segar dan penuh estetikanya. Tidak hairanlah Rumi dipuji dan dingati di Timur dan Barat. Semua setuju dengan Rumi walau dipisahkan dengan apa jua pegangan dan fahaman. Rumi mempunyai kekuatan menyatakan keindahan cintanya adalah tinggi dan sejati. Tidak ada pujangga yang boleh menulis seperti Rumi. Maka leruilah tanggapan saya terhadap pujangga-pujangga dunia dari Barat khasnya, di sini di Persia, di Timur, ada Rumi yang menyalakan cahaya cinta dan puisi, yang entah bila tidak saya tahu akan terpadam.


.

17.2.09

sajak semasa

Kadangkala

Kadangkala kata-kata menjadi hempudu
pahit rasanya
tidak mampu dicecap

Kadangkala ia menjadi daging pejal
lama diperam dalam garam asin

Kadangkala ia menjadi debu halus
mengapungkan angin dan debunga

Kadang-kadang menjadi kulit bawang
nipis lagi payah untuk dijaga




Hari ini di negeri

di negeri ini di lembah ini
dulunya ramai anak buminya
mahu jadi rama-rama
mahu jadi seekor ikan punya insang
mahu jadi burung kian pandai mengulit suasana

hari ini di negeri ini di lembah ini
sudah ramai berubah rasa
mengubah ceritera dan kisah lama
mereka tidak lagi mahu jadi ikan punya insang
dan berkulit licin
tidak mahu jadi rama-rama mencari bunga
tidak mahu menjadi burung
menyembur madah suasana

tapi mahu menjadi makhluk berbeza
katak berkulit hodoh


aku tidak mampu

aku tidak mampu
melihat wajahku dalam kolammu
kerana terlalu jernih
segar dan suci
kalaupun dapat melihat diri
hanya beberapa bahagian yang berceraian
kerana wadah kataku cemar
ah, kalaupun bukan kerana itu
barangkali bajuku yang noda
penuh kotoran dan banyak rabaknya
kalaupun dapat melihat bajuku sebahagiannya
barangkali kerana rambutku yang panjang
melilit musim kembara lesu
kering bejana imannya
bertapak pada bumi tiada petunjuk
menakungi diri sendiri membujuk keberadaanmu
kalaupun dapat merenung biji mataku
ia sudah bundar meleper
kerana itu aku mungkin tidak dapat mengenali
wajahku
maka aku tidak mampu
melihat wajahku dalam kolammu
yang bersih menyucikan
tapi aku begitu rindu
merasai kedinginan
dan kebersihannya pada wajah
yang masih bercempera ini.


.

up; Tahniah kepada Dato Hassan Ahmad dan rakan-rakan sekutu yang membawa memorendum kepada Menteri Pendidikan.

.

12.2.09

roh pendidikan kita usang 1

Pendidikan di negara ini usang. Saya menyedut rumusan ini apakala semua hipotesis, pandangan dan taakulan masuk ke dalam akal. Beberapa kali masuk dan keluar. Masuk kemudian keluar. Akhirnya, saya mahu katakan memang pendidikan kita usang!. Ini keluaran daripada pemerhatian saya selama lebih kurang 4 tahun dalam pendidikan.

1. Kita tak mencipta apa-apa walaupun sekarang kita kata negara kita semakin ke arah negara maju, dengan bukti apa yang telah ada hari ini. Hakikatnya itu satu rekaan dan imaginasi Mat Jenin saya rasa.

2. Kita tidak melahirkan gagasan besar melainkan suka menjadi pengikut. Kita ikut dan sorot daripada belakang. Kita tidak mengembangkannya tapi membuatkannya sedikit berbeza, segar-bugar tapi ia tidak meluas faedahnya. Dan ini antara ciri-ciri Watak Tertawan, menurut Syed Hussein Alatas.

3. Kita kata pendidikan kita diterima global. Ya, tapi pendidikan kita tidak lagi berkembang tapi hanya bertakung pada sejarah dan citra lama. Kita masih dengan subjek-subjek yang sudah 'out of date'.

4. Dalam pendidikan kita, tidak diperkenalkan pemikiran jatidiri dan gagasan mandiri. Yang ada adalah dari entah siapa-siapa dari orang Barat. Kita kongsi sekerat dan memamahnya seakan amat yakin dengan formula itu. Rupa-rupanya ia lansung tidak sesuai dengan diri kita.

5. Telah lama kita dengar perkataan acuan sendiri. Rupa-rupanya kita belum mampu membuat acuan itu dalam apa jua bidangpun. Pendidikan lebih-lebih lagi.

6. Pendidikan kita tidak ada roh sebenarnya. Dulu, memanglah pendidikan kita berjaya pasca merdeka sebab itu ramai yang lahir darinya orang-orang kita yang pandai. Sekarang kita tidak lihat kelibat orang-orang pandai itu dari generasi kini. Mereka dulu secocok dengan pendidikan masa itu dan sistemnya. Sekarang, apapun tidak ada makna.

7. Antara yang jelas dalam pendidikan kita, kita tidak menekankan pengkhususan seseorang individu dan bakat. Semua pukul rata. Menyebabkan kita tidak boleh memberi peluang kecuali semuanya pilihan yang tidak dapat dihindari.

8. Guru-guru kita yang ada masih lagi berminda ketiga. Entah apa pasal. Sebab asyik berfikir tentang kerja yang bukan kerjanya. Kerja guru mana-manapun mengajar, tapi hari ini guru adalah semuanya.

9. Pendidikan kita masih banyak lubangnya. Bukan sebab prasarana tidak cukup, malah banyak sekali. Tapi minda, ruh ilmu dan budaya kita nipis sangat. Antaranya, berapa kerat dalam satu bilik tidur, didiami oleh orang yang suka membaca. Jumlahkan, cuba hitungkan dan buatlah kira-kira, hasilnya-kalau yang membaca adalah buku yang picisan sifatnya. Tidak mampu berfikiran kritis. Tidak mampu analitikal. Tidak mampu berfikiran luar kotak.

10. Pendidikan kita mahu semua, tapi akhirnya meninggalkan saki-baki yang terpalit. Banyak orang boleh bekerja sebagai buruh sahaja sekarang atau sekadar pegawai kerajaan kelas bawah sebab pendidikan kita hanya menghala satu dua arah. Terpalit sedikit faedah. Jadilah dia buruh walau empat angka, tapi fikirannya setiap hari hanya pasal duit.

11. Budaya kita lemah. Kalau tanya 10 orang remaja, tanyakan soalan-soalan tentang dirinya dan tentang masa depan, jawapannya adalah hampir sama dan diciplak daripada ayat-ayat buku teks.

12. Kerana itu kita tidak ada yang lebih. Nama saja lebih.
Padahal, apa ada pada nama.

13. Menteri kita masih berotak udang, tengoklah sendiri. Menteri kita suka cakap pasal duit bilion, juta-juta wang, tapi apa maknanya?. Nihil bukan!.

14. Universiti kita tidak dipandang kaliber sebab tugasnya melahirkan mahasiswa yang berotak kuliah dan ayat-ayat pinjaman daripada guru-gurunya di universiti. Ditanya, berapa buah buku dibaca, jawapannya pasti memalukan.

15. Guru-guru masih dimomokkan dengan tugas pelik, entah mana datang, kurang makna, entah apa-apa entah.

16. Dasar-dasar yang dibuat hanya mengikut rasa dan keadaan. Tanpa kajian dan perbincangan orang-orang dalam ahlinya.

17. Orang muda kita masih berpeleseran. Bercakap tentang yang difahaminya separuh-separuh.

dan macam-macam lagi. Saya fikir pendidikan adalah suatu yang penting, tapi kita tidak. Kita tertutup kepada pemikiran matang dan non-konvensional. Kita benci pembaharuan kerana suka yang tradisi yang lapuk. Kita suka pada pendidikan banyak A. Bukan banyak otak, banyak idea, banyak tulisan, banyak karya, banyak perbahasan, banyak pemikiran.

18. Kita suka meminjam tanpa memulangkan. Kita pinjam dari US dan dari mana-manalah, tak perlu sebut, tapi yang wujud adalah kacukan yang tidak pintar malah menambah bobrok. Kita tidak bina acuan kita.

19. Di sini pendidikan juga politik. Saya rasa pendidikan adalah pendidikan. Jangan campurkan!

20. Buku teks di sekolah masih tidak membina otak. Buku teks untuk dibaca dan dihadam untuk peperiksaan dan mengikut sukatan. Bukan untuk membuka otak pelajar. Membedah minat pelajar untuk belajar.

21. Pendidikan adalah dana. Padahal orang belajar tanpa perlu dana besarpun, boleh berjaya. Kita yang kata macam itu. Padanlah!.

22. Tidak jelas. Kabur. Banyak simpang-siur.

23. Tidak meraikan pandangan baru.

24. .......bersambung insyaAllah

.

adakah kita selalunya jujur

Pada sesetengah orang, jujur sangat penting. Orang Barat menghargainya dan mengganggapnya sebagai moral. Saya tidak tahu berapa di kalangan pembaca blog ini yang jujur?. Jawapan itu tidak pentingpun pada saya. Tapi kita cuba lihatlah diri kita, bagaimana jujur itu membentuk diri dan meluruskan pandangan hidup. Atau pernahkah kita cuba melihat hal ini dengan lebih dekat dan rapat dengan menilainya dengan jujur juga, dan kenyataan yang jujur keluar-saya seorang jujur misalnya.

Jika hendak dikirakan, betapa jujur itu satu yang kod etika atau sebahagian daripada akhlak sahaja, tidak lebih. Teori totok, tidak lebih. Retorik lidah yang lembut, tidak lebih. Satu ujaran paling klasikal tapi mantap, tidak lebih. Satu pengakuan untuk mengangkat diri sendiri, tidak lebih. Untuk menunjukkan diri seorang 'setia' pada cintanya, tidak lebih dan lain-lain lagi yang semuanya 'tidak lebih'.

Mengenal atau kenal manusia yang tidak jujur, membuat kita tidak kisah dengan keadaan, reputasi, perangai, masa depan dan macam-macam tentang orang itu. Biar besar manapun dia, biar penting manapun dia, biar kaya manapun dia, biar siapapun dia dengan kita, biar siapapun nama dia, biar apapun atuk dia, biar apapun kelebihan dia, biar pengalamannya seluas lautanpun dia, biar setua manapun dia, biar sebagus manapun tanggapan orang pada dia- saya sudah tidak peduli dia. Dia tetap dia. Saya tidak mahu ambil tahu.

.

11.2.09

penjara kerja

Rawa-Rawa oleh Latif Mohidin



Akhir-akhir ini saya dipenjarakan. Bukan apa salah saya. Bukan apa sikap songsang saya yang disabitkan dengan mana-mana akta. Saya dikurung dalam penjara kerja. Sayapun akur dengan apa yang menimpa diri.



Teringat kisah Nabi Yusuf a.s yang dipenjarakan dan baginda a.s menyatakan penjara lebih disukainya berbanding apa yang berlaku di luarnya. Penjara menjadikan seseorang itu tenang daripada apa yang dibebankan ke atasnya, dugaan yang besar dihadapi yang begitu menguji. Nabi Yusuf a.s sendiri redha.



Sedangkan saya juga menerima apa yang berlaku akhir-akhir ini. Bezanya saya kurang tenang dan tidak dapat menulis. Penjara kerja begitu menguji jasad khususnya. Semacam susah hendak bergerak secara maknawi. Pergerakan itu hanya dapat dibolosi dengan menulis. Saya tidak dapat menulis kerana kesibukan waktu.



Baru-baru ini saya sempat ke Ipoh. Satu juzuk pengalaman sudah dilansungkan. Lengkaplah sedikit riwayat hidup saya dalam tapak rencana. Saya berkesempatan mencari majalah Tunas Cipta di sebuah kedai yang menjual atau sebagai pengedar buku-buku DBP, dekat dengan Silibin, Ipoh. Hari pertama kunjungan, saya beli Tunas Cipta bulan ini. Dan hari keduanya, saya beli tiga buah buku kumpulan puisi/sajak lama dari tiga tokoh penyair ternama.



Titir Zikir-Kemala, Rawa-Rawa-Latif Mohidin dan Petang Condong- T. Alias Taib. Semuanya diterbitkan Pustaka Cipta Sdn Bhd. Saya beli kerana ketiga-tiga buku lama, diterbitkan 90-an. Tapi masih baik. Dengan harga munasabah saya membayar dan di hati berasa sangat puas. Ketiga-tiga penyair pernah saya baca dan ikuti karya mereka lewat buku dan majalah. Selain daripada beberapa buah buku T. Alias Taib yang saya ada dan kumpulan puisi Kemala Mim yang saya ruweti awal dulu, dan karya-karya Sungai Mekong yang saya baca bila di universiti dulu dan di awal perkenalan saya dengan sastera, imej-imej semakin 'dalam' dalam fikiran dan tanggapan.



Politik...bagaimana?. Walaupun saya di rusuk Perak, saya banyak mendengar dari mengetahui hakikatnya. Maka saya tidak boleh bicara apa-apapun, selain hasilnya akan keluar sebagai persepsi. Sekarang 'persepsi' jadi perkataan paling tajam dari mata pisau. Saya tidak mahu meluaskan persepsi sedia ada. Tapi hati saya memang tidak sedap dengan keadaan semasa. Jiwa tidak tenang dan ceria. Politik semakin busuk lagi membusukkan. Mereka kata politik kita makin matang, tapi ia tidak ada apa-apa maknanya jika ini natijah politik matang itu.



Dalam kesibukan, saya tidak menulis. Saya hanya dapat membaca buku-buku yang saya beli. Sedapat mungkin saya cari masa untuk bersama dengan puisi-puisi itu, hidup dalamnya. Merasai dan mengdakapi citra yang lembut dan aneh yang berbaur. Saya tidak mahu berpersepso dengan politik. Pergilah politik jauh-jauh!, kata saya diam-diam. Saya mahu tenangkan resah dan menyepi bersama dalam hutan puitis para penyair .



.








4.2.09

masirah gaza


Masirah


(M. Nasir)



Suara duka angin Gazza
Gegar jantung bumi kita
Nyawa anak di hujung senjata

Tangisan bonda hanya sia-sia
Masirah anak al-durrah
Netzarim bermandi darah

Begitu megah mata memandang dusta
Masirah dalam amarah
Hilang kalam kebenaran

Kudrat alam hanya menjadi rebutan
Berbaris-barislah ke satu arah
Jangan sampai berpisah menyusun langkah

Mencari-cari erti kedamaian
Di dalam jiwa tersirat jawapan
Masirah anak al-durrah

Netzarim lambang perjuangan
Kita menanti tangan pembelaan
Masirah dalam amarah
Hilang kalam kebenaran
Kudrat alam hanya menjadi rebutan
Masirah anak al-durrah

Netzarim lambang perjuangan
Kita menanti (kita menanti) tangan pembelaan
Masih menanti tangan pembelaan


.

3.2.09

siapa kita


















































. ?
?.