Tanpa saya sedari, aktiviti peribadi saya kian terbatas. Gara-gara kegelisahan seputar bahan bacaan dan dunia semasa yang menghimpit. Kalau dunia ini hendak dibuat perbandingan, ia umpama lorong labirin yang sempit dan sepi. Semakin banyak yang mengganggu, saya makin terpinggir. Mungkin ini satu keterbalikan situasi.
Bahan bacaan dan pembacaan kita yang ekslusif atau inklusif sifatnya, menalarkan beberapa keadaan dan pengalaman. Saya 'terpatuh' cara pemikiran tertentu. Terpaut pada cara pengungkapan bahasa dan retorikanya. Teroleng-oleng bagai rumpai di air dengan logikanya. Dan tidak terlepas dihanyutkan ke dasar 'rasa' yang begitu meminggirkan kita, secara tidak disedari ke dunia yang begitu diam, khusuk dan mengapungkan estetika.
Setiap pengalaman ada seninya. Setiap individu mempunyai tanggapan tersendiri terhadap pengalaman seninya yang unik daripada yang lain. Pengalaman 'terheret' ini sangat baik kepada yang mengkaluti dunia khusus itu, terpulang kepada bidang masing-masing.
Dunia yang sangat asyik dan kurang difahami semuanya.
2
Hari ini saya ada membaca daripada Berita Harian tentang pembinaan Kota Buku di Kuala Lumpur. Katanya atau khabarnya akan ada kalangan orang tertentu (istilah gelaran yang tepat saya terlupa pula, mungkin pengkaji atau ......) akan dihantar ke luar negara untuk mempelajari cara-cara mengimarahkan Kota Buku.
Positif, kerana inilah sepatutnya yang dilakukan. Tetapi kita nampak atau nampak sangat 'kurang' tahu tentang Kota Buku ini rupanya. Kalau ditanya pada saya, saya sendiri tidak boleh menjawabnya. Tetapi ini projek mega dan bersifat nasional malah internasional - padan sangat saya kurang arif. Saya hanya tukang penyapu atau sapu sampah. Saya sedar.
Di Indon, walaupun Jakarta itu bukalah disebut-sebut Kota Buku di Indonesia, tetapi semua orang tahu dari Malaysia, Indonesia atau seluruh Nusantara - toko-toko buku di sana cukup besar. Mereka tidak malu mengaku kalau mereka sudah ada model Kota Buku pendapat saya kerana, toko-tokonya bukan sahaja merata-rata, besar, kecil dan sederhana - malah buku-buku di dalam toko-toko buku itu juga dipenuhi dengan buku taraf nasional dan internasional yang saya percaya lebih dari separuh adalah terjemahan dalam bahasa Indonesia. Apa yang hendak mereka hairankan sangat dengan gagasan Kota Buku - kalau kita ambil contoh mudah dan terdekat ini iaitu dari negara jiran kita. Malah Jakarta cukup terkenal dengan sastera dan kebudayaan seperti yang kita sedia maklum. Tidak perlu kepada satu nama khas atau julukan khas untuk yang bersabit dengan buku misalnya, kerana mereka amat mendahului...
Kalau kita tengok ke jepun yang juga dari lingkaran Asia - kita tahu mereka cukup terkenal dalam menterjemah buku dan pemeliharaan atau penjagaan kebudayaan mereka. Buku sudah menjadi lambang kebudayaan mereka. Apa hendak dimalukan atau dirisaukan kalau mereka tidak ada Kota Buku misalnya, kerana hal itu sudah sedia ada dan wujud bercambah-cambah.
Saya hanya bagi pandangan sahaja, bukan sinistik pula pasal nawaitu yang murni ini. Tapi jika hendak buat Kota Buku - benda-bendanya harus cukup ada. Mesti penulisnya ada. Bukan ada sahaja, malah ramai. Penulis itu sebaiknya dari negara kita, kerana Kota Buku ini untuk kita, keutamaannya bukan !. Kedua, mesti ada buku-bukunya. Bukan ada buku-buku sahaja, tapi buku yang amat banyak dan merata-rata, pelbagai dan paling penting buku itu tulisan daripada penulis-penulis kita, sekurang-kurangnya 50% di tiap gedung atau toko-toko buku di Kota Buku ini. Dan mesti ada jumlah yang banyak juga, terjemahan buku-buku kita ke dalam Bahasa Kebangsaan. Apa gunanya Kota Buku dalam sesebuah negara kalau Bahasa Kebangsaan tidak diberikan tempat yang betul-betul strategik. Malah ini maksud kebudayaan dan kemandirian bangsa, jika difahami.
Seterusnya, Kota Buku mesti ada tempat atau cafe-cafe yang disediakan berdekatan atau dalam kedai-kedai buku yang besar. Cafe-cafe itu tempat duduknya para penulis, ulat buku dan pembaca , bertemu, berbincang, berdiskusi, berhebahan tentang buku, berprogram tentang buku dan lain-lain. Ini harus ada dan sifatnya meluas dan setiap hari. Kalau tidak setiap hari, dua-tiga kali seminggu. Penulis mesti diberikan ruang seluas-luas mungkin untuk menjadi pemeriah kedai, toko, cafe, majlis Kota Buku ini. Maka, martabat penulis mesti diangkat. Bagaimana ?. Mereka mesti diangkat dahulu ke media cetak, visual dan radio. Mesti. Tanpa penulis, buku tidak akan dibicarakan. Umpama, hanya ada bayang-bayang dan jasadnya tidak kelihatan.
Mesti ada potongan buku yang besar dan pelbagai jenis harga. Ada yang mahal tetapi buku yang sama ada dijual di tempat yang ekonomi atau budjet. Ada jualan borong, ada jualan besar-besaran seumpama jualan mega barang-barang di hyper market di bandar-bandar besar itulah. Mesti ada highlight cukup besar kepada penerbit dan penjual buku. Mesti ada highlight cukup besar kepada hadiah-hadiah atau pengiktirafan kepada buku-buku yang diterbitkan.
Mesti ada, perpustakaan yang meminjamkan buku secara online. Secara fleksibel dan sebagainya. Internet dimaksimakan penggunaanya untuk memberikan khidmat kepada pelanggan untuk mendapatkan buku, muatturun buku tertentu, penghebahan, penjualan dan sebagainya tentang buku.
Mungkin ini antaranya, yang saya rasa perlu ada pada Kota Buku. Yang penting selain majlis-majlis keraiannya - yang perlu ditekannya adalah pengisiannya. Itu penting kerana tanpa pengisian yang mantap untuk Kota Buku, ia tidak mampu menjana seperti yang diharapkan. Kita tidak boleh terlalu bangga atas usaha ini, kerana negara Indonesia yang seoerti itu dengan terdengar berkenaan kemiskinan dan penhijrahan warganegaranya cukup ramai ke mari, tetapi mereka sudah mempunyai yang seakan-akan kota buku kerana memiliki ciri-ciri asas seperti penterjemahan yang besar lagi progresif, penulis yang bersilih ganti dan mendapat tempat dan aktiviti kebudayaan yang sentiasa ada. Kita mungkin boleh belajar dari mereka serba sedikit.
.