30.6.09

hanyut


diri, dihanyutkan ke muara durja
sebelumnya termanggu di tebing resah
rebak dan terhakis tanpa warna

sebaris kata menjadi peribadi
ditumpangkan di atas daun yang hanyut
lewat sungai abadi

masih ada yang berbaki
suara kering dari hari-hari yang ditangiskan
menyusup keluar dari nafas

namun terbeban dalam wadah hati
seribu gurisannya siapa yang mau peduli
tanpa penawar tanpa saranan

gelap menyelubungi bagai hilangnya sakti
pada mitos putera raja atau petapa yang mistikal
peribadi juga terurai lewat tanah kontang

pohon tidak subur dan
angin menjadi penakut kepada kebiasaan
rumahmu menjadi sepi menumpangkan lagu cengkerik bisu


30-6-09

.

29.6.09

berjalan dengan bukan kemauan sendiri

i

kemauan sendiri itu kadang-kadang terlalu kompleks dan seni
tidak semua orang menerima dan memunasabahinya.
kita belajar dan diajar untuk menyimpan apa sahaja kemauan
yang tidak cocok dengan fahaman orang di sekeliling kita
etinya tidak ada lagi kemauan peribadi
sebaliknya yang ada adalah mengikut arus yang tidak berbentuk
selagi kita ada kemauan dan berani berdiri di atasnya
sekurang-kurangnya bentuk itu kita berasa selesa dengannya

ii

menulis sajak mengajar kita untuk berkemauan sendiri
ada akar dan ada dahannya
kita kekurangan citra
lalu kemauanlah yang mengindahkannya
mencari dari selokan rahsia diri
tertoreh di sebahagian kecil jasad
tidak membekaskan sakit pada luara
tetapi bebas dengan suaramu
terasa bagai mati lebih awal


iii

kaki tanpa jejak dan angin tanpa wajah
melurut pengalaman yang muram, terpencil
kasad yang tidak teguh merencamkan rasa
bongkah amarah selalu luluh sendiri kerana hilang nyilunya
berlaku perlahan-lahan, diam seperti pergantian malam dan siang
tiada terasa kesan - biar mentari sudah lama berlari

iv

dalam gelita itulah gua peribadi terbentuk
dari suar gelisah malam yang tidak berganjak
kaku mengigit kayu api yang marak
panas lama dan seakan tidak padam
kunang-kunang menari dan menyanyi
susunan senandung enigma dari pujangga bohemian
api menjadi cerita
abu menjadi ketawa
hangat yang mencubit dingin memanggil
nama-nama benda untuk dibebelkan

vi

baring di atas pasir
rumput berubah menjadi tilam
asyiknya mata memuji bintang
terpegun dengan bentuknya yang penuh tanda
'apakah erti berkemauan?'
soal diri kepada bulan yang terang benderang.

.

29-6-09

.



22.6.09

spritual si penulis menulis

Saya percaya kepada gabungan dua unsur yang hamoni. Pertama, unsur minda atau pemikiran dalam mengarap gagasan atau idea menjelmakan sebuah karya itu. Kedua, unsur spiritual atau kerohanian dalam menjadikan karya itu benar-benar mandiri sifatnya.
Imam Al-Ghazali, menghuraikan tentang peranan akal dan hati dalam menjadikan manusia itu seimbang amalan, pemikiran dan jiwanya. Hal ini bukanlah satu pandangan yang baharu pada zaman Imam Al-Ghazali r.a, kerana Al-Quran dan Rasulullah s.a.w sendiri pencetus kepada perbicaraan tentang keseimbangan dua perkara atau unsur itu dalam diri manusia.
Karya sastera atau ilmiah sekalipun, adalah daripada kerja tangan manusia yang ada campur tangannya dengan dua unsur tadi. Kalau difikirkan, mungkin terlalu teorikal sangat. Tetapi memang bagi mereka yang pernah atau biasa menulis - dua unsur tidak mungkin berpisah.
Cuma kerohanian itulah yang berbeza dari setiap penulis. Barangkali idea atau pemikiran antara seorang penulis dengan yang lain, agak hampir sama. Mungkin hal itu disebabkan faktor luaran, yang banyak mempengaruhi cara fikir atau faktor dalaman menerusi tahap pendidikan dan sebagainya. Tetapi rohani itu sifatnya pada saya ekslusif, unik dan tersendiri. Gabungan kedua-dua ini melahirkan seorang pengarang yang berbeza dari yang lain.
Ini bukan teori atau apa, saya sekadar memberi pandangan. Barangkali perlu diperbaiki. Dalam rohani inilah yang membezakan antara pengarang muslim dengan bukan muslim. Bagaimana seorang pengarang muslim ikhlas dengan yang muslim tapi tidak ikhlas. Ikhlas maksudnya menyatakan Islam sebagai the way of life. Salman Rusdie misalnya, tentunya dia pengarang yang bernamakan seorang muslim, tetapi tidak ikhlas, mungkin.
Kerana itu terdapat perbezaan antara pengarang muslim dan bukan muslim, bukan segi struktrul karyanya, tetapi dari segi kerohanian itu. Dan hari ini spiritual ini sudah diterima di Barat, tetapi mungkin sedikit berbeza daripada yang difahami di Dunia Islam. Tapi saya fikir untuk huraikan perbezaan itu di sini.
Spritual itu mungkin dua jenis, satu untuk perasaan yang manusiawi. Satu lagi mungkin perasaan yang berhubung dengan ghaib. Yang kedua itu, mungkin membezakan antara muslim dengan bukan muslim segi faham spiritual itulah. Itu saja yang saya terfikir sekarang ini.
Kedua-dua spiritual itu ada manafaatnya terhadap penulis, baik muslim atau tidak. Bayangkan bagaimana ramai kalangan penulis bukan muslim menulis sebegitu banyak karya yang kita boleh akui, mempunyai nilainya tersendiri. Seperti Doris Lessing, Saramago, Fyodor Dostoyevsky, Harold Pinter, Samuel Beckett atau Pablo Neruda. Tetapi spiritual itu sifatnya manusiawi. Sensiviti mereka dari sudut manusiawi mereka cukup kuat dan berkesan, tidak kiralah subjek matternya tentang mereka atau tentang orang lain.
Berbeza dengan spiritual yang berhubung dengan ghaib yang memang mempunyai dorongan cukup kuat untuk mengahasilkan sesuatu seperti yang berlaku pada ramai sarjana muslim yang ditinggalkan sebahangian karya mereka hari ini. Terkadang kita dapat bayangkan entah bagaimana Imam Nawawi r.a misalnya dapat mengarang buku yang lebih daripada 20 buah buku. Dan beberapa daripadanya itu mempunyai lebih daripada 20 jilid misalnya. Dan tidak dapat difikirkan secara logik, entah macam mana - hidup kepengarangan dan kesarjanaan Imam Nawawi r.a misalnya. Ini cuma satu contoh daripada ribuan contoh pengarang sarjana muslim yang cukup hebat menghasilkan karya. Juga apa yang berlaku kepada Syed Qutb yang menulis Fi Zilal Al-Quran yang tebal-tebal dan berbeza pendekatannya daripada kitab tafsir yang klasik.
Maka dua spiritual ini mungkin sahaja ada setiap pengarang, cuma kuat atau tidak sahaja. Sekian.
.

14.6.09

Pas Untuk Semua


Formasi struktur parti Pas mutakhir yang menjadi isu politiking (dari luar atau dalam) sewajarnya diberikan tumpuan atau perhatian supaya tidak membekaskan kesan seperti merenggangkan atau lebih tepat menenggelamkan Pas dari agenda politik nasional, dan isu tersebut adalah berkaitan kepimpinan parti gabungan antara ulama’ dan profesional. Barangkali ketika suhu isu atau ‘diisukan’ tentang krisis dalaman Pas atau momokan perbezaan pandangan atau pemikiran antara dua kelompok besar itu dalam kepimpinan Pas, penulis dapat merasakan terdapat ralat atau silap tafsir dalam melihat isu terbabit semunasabahnya.

Kebanyakan di media-media atau pandangan-pandangan bebas, mengikat dengan muktamad dua kelompok pemimpin ini dengan pelbagai pertimbangan, dan seolah-olah Pas menunjukkan secara jelas, daripada isu perbezaan pandangan atau sekurang-kurang inspirasi antara ulama’ dan profesional, wujud satu pertentangan yang kian melebar sehingga kepada wujudnya kelompok pro-ulama’ dan satu lagi Erdogan. Lantaran, isu ini juga mempunyai perkaitan dengan gagasan Kerajaan Perpaduan yang sudah menjadi ‘tagline’ dengan Presiden parti Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Muktamar ke-55 selesai dengan pemilihan kepimpinan baharu yang dipilih berdasarkan kekuatan dan potensi masing-masing atau mengikut kepada sistem bernafaskan demokrasi dalam Pas itu sendiri. Jika dilihat, masih ada lagi bayang-bayang krisis antara pemilihan pemimpin dari pro-ulama’ dan kumpulan Erdogen. Namun yang lebih jelas, Kerajaan Perpaduan masih dalam satu lingkungan perbicaraan yang konversional dan diraikan oleh sebahagian golongan dalam parti Melayu-Islam itu.

Walaupun secara umumnya, Pas perlu melakukan sesuatu untuk memberikan impak kepada politik sekarang ini, dengan melakukan pelbagai ransangan untuk menghadirkan perbincangan yang lebih luas, tentang politik itu sendiri – dan penulis beranggapan bahawa mengadakan gagasan Kerajaan Perpaduan ini, membantu untuk Pas ‘hadir’ berada dalam langskap politik nasional setelah dilihat pasif dan ‘vakum’ kebelakangan ini dalam memberikan ransangan-ransangan yang mengujakan khalayak politik.

Kerajaan Perpaduan itu seperti yang disebut Presiden parti Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, perlu diberikan tafsiran dan penerangan yang betul supaya tidak disalahtafsirkan dan diertikan dengan sewenang-wenangnya. Sebelum ini, idea ini belum timbul dan ia hanya menjadi begitu serius atau menjadi ‘persepsi’ apabila dikaitkan dengan sejarah yang lampau oleh sesetengah pemimpin atau penyokong Pas, iaitu merujuk kepada pengabungan Pas-UMNO pada era Dato Asri selaku Yang Dipertua Pas pada masa itu. Selain daripada pandangan ini juga kelihatan sudah ‘berbeza’ atau berlainan daripada apa yang telah disepakati oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang pernah mengadakan pertemuan sebelum ini, lalu dibangkitkan tentang persetujuan untuk bersama kerajaan menyelesaikan persoalan kemelut ekonomi yang melanda kini.

Tetapi di satu sudut lain, adakah dengan cara menzahirkan Kerajaan Perpaduan yang dianggap menjadi kunci kepada penyelesaian masalah politik dalaman dan masalah ekonomi yang melanda (kata kunci ini amat ‘dihighlightkan’ oleh Presiden Pas) mampu memberikan suasana baharu dalam corak politik nasional. Adakah di sana suatu yang lebih jelas atau kajian hitam putih yang dapat mencerahkan idea atau pandangan berkaitan dengannya supaya tidak menimbulkan keresahan dari pelbagai pihak khusus para pendokong Pas ?.

Erdogan

Hipotesis yang menyatakan adanya kelompok Erdogan adalah untuk membawa barisan kepimpinan dan parti Pas di luar daripada streotaip sebelum ini agak samar-samar. Adakah ini sesuatu dari cabaran Pas untuk merealisasikan slogan parti ‘Pas for All’ yang mana diuji dengan fenomena yang baharu, yang sebelum ini tidak pernah timbul seperti khabar angin menyatakan wujud unsur politik wang dalam Pas dan sebagainya, walaupun hal ini sedia maklum – tidak dapat diperjelaskan dengan tiada apa-apa tindakan lantaran tidak apa-apapun yang boleh dikaitkan dengan politik wang.

Fenomena timbulnya ‘trend’ yang baharu dalam Pas mungkin sesuatu biasa dan normal. Pun begitu, apabila Pas semakin mengunggulkan sesuatu pandangan dan tidak meraikan pandangan sebahagian ahli di bawahnya, ini juga satu daripada persoalan yang biasa berlaku dan normal pada mana-mana parti atau organisasipun, tetapi Pas harus melihat semula kepada asas perjuangan yang dimulai dengan begitu tragik tetapi kemudian progresif iaitu sebagai parti yang memperjuangkan isu-isu Melayu-Islam, penegakan undang-undang syariat Islam dan akhirnya penubuhan negara Islam.

Tetapi melihat kepada keperluan kontemporari, Pas sering mengadaptasi dan membuat ‘adjustments’ hala tuju ini dengan inti perjuangan parti supaya dianggap relevan dan selari dengan arus zaman. Namun, dari segi psikologinya, apabila Pas tidak membuat penentuan yang muktamad tentang masalah dalaman yang diwar-warkan iaitu krisis ulama – Erdogan, dilihat Pas sudah membiarkan imej parti yang dahulu dikatakan gabungan antara ulama’ dan profesional – berada dalam keadaan agak terganggu dan kurang serius membetulkan keadaan.

Dan Pas bukan baru dua tiga tahun mempunyai komposisi ulama–profesional seperti ini, tetapi lantaran hanya baru selesa dengan gabungan ini, barulah sekarang diuji, adakah Pas bersedia mencetuskan satu anjakan paradigma, selepas berada dalam komposisi yang unik ini dan melonjakkan Pas lebih diterima semua.

Faktor penggabungan diri golongan profesional ke dalam Pas sendiri merupakan satu faktor yang menjadikan parti keluar daripada bentuk stereotaipnya dan menjadi agak luwes diterima rakyat khasnya di bandar-bandar. Kesan ini sangat signifikan dan menampakkan Pas semakin melangkah ke hadapan kerana mempunyai barisan kepimpinan yang tidak lagi hanya sekadar ulama dan ustaz sahaja.

Malahan ciri-ciri ini melebarkan imej dan pengaruh Pas ke golongan profesional dan pegawai-pegawai kerajaan. Maka Pas tidak dilihat sebuah parti yang Islamic semata-mata tetapi mempunyai ciri-ciri progresif dan syumul.

Tetapi hanya dengan nama dan imej tidak mengcukupi, Pas perlu menstabilkan dan meneutralnya pula gabungan supaya lebih akrab dan membawa Pas kepada peringkat kematangannya. Apabila isu Erdogan timbul atau ditimbulkan, seolah-olah masih belum matang dan tidak mampu melakukan ‘stabilize’ kekuatan yang ada untuk menambahkan momentum politik di masa depan. Malah selesa dengan penguasaan pihak-pihak tertentu dalam pemilihan kepimpinan dengan alasan berlakunya usaha untuk memecahbelahkan Pas misalnya.

Kepimpinan ulama atau profesional dalam Pas sebetulnya hanya perkara cabang dan kecil berbanding usaha mengumpul kekuatan untuk menarik lebih ramai penyokong Pas di kala ini. Atau meningkatkan kredibiliti Pas dalam peta politik nasional dengan menambahbaik metod Pas untuk menghadapi pelbagai kemungkinan perubahan dan meraikan ‘politik baharu’ ini untuk masa-masa akan datang. Mungkin Pas belum memikirkan bagaimana persediaan Pas menghadapi rakyat yang menyokong UMNO atas alasan-alasan yang berbeza dan cuba menarik golongan ini secara psikologi.

Pas juga perlu lebih matang dalam mencari ruang dan peluang politik, tidak sekadar menjadi jaguh dalam pentas pengucapan atau selaku pembangkang di parlimen. Kerana masih banyak ruang yang perlu Pas bangunkan untuk menambah potensi penguasaan Pas di kalangan orang Melayu, dan menjadi tanggungjawab Pas untuk bersedia dengan fikiran-fikiran atau idea-idea yang baik untuk diketengahkan kepada kerajaan dalam pelbagai aspek. Ini akan menjadikan Pas lebih hadir di tengah-tengah rakyat, apabila politik Pas yang maju (dengan adanya gabungan yang mesra antara ulama’ dan profesional) selain menyediakan pandangan-pandangan atau idea-idea bernas untuk diajukan kepada kerajaan, yang selama ini kebanyakkan keputusan adalah daripada pihak kerajaan sendiri.

Justeru, meruntuhkan perbezaan ketara atau perbezaan kecil antara ulama’ dan profesional dalam memberikan impak perubahan kepada politik perlulah diadakan, dan mana-mana perbezaan pandangan haruslah disebatikan dengan muafakat dan tasamuh sesama pemimpin. Walaupun perbezaan pendapat dalam Pas itu baik untuk lebih mengenal sendiri kekuatan parti, tetapi menyatukan fikrah dan barisan – sesuatu yang amat diperlukan di saat Pas mencari-cari suaranya sendiri untuk berada benar-benar wujud dalam politik nasional sekarang ini. Dengan mengenepikan isu tetek-bengek dan sebagainya, Pas perlulah mengandingkan kekuatan dan potensi bukan mengasingkan entitinya untuk memudahkan kelancaran parti. Objektif besar parti dan modus operandinya perlulah lebih luwes dan realis berbanding dahulu dan memerlukan percambahan idea di kalangan pemimpin, kerana itu Pas perlu kehadapan dalam survival kepimpinan Melayu-Islam dari bertelagah sesama sendiri.

10.6.09

cubaan 3 - kampung

laman kampung
rak buku di kampung
rumah atuk dan ayah
0
sebuah buku dr. qarni yang elok dibaca oleh ulat buku seperti diri

6.6.09

cubaan 2

jam condong
jalan
tulisan tangan
dipercayai
the store

bas
.








cubaan 1

sesetengah buku menjadi teman yang amat mengasyikkan
tulisan
rak buku tulisan di media massa
menarilah ummi
baru dibeli, capita selecta - antara buku terbaik yang pernah baca
pandangan di luar lingkungan
bila hendak kemas susun !








5.6.09

Politik Perkauman Dalam Lembaran Politik Baharu

Bold


Orang Melayu secara umumnya (merujuk sejarah lalu) merupakan manusia yang berada di bawah sistem politik dan tidak banyak mempunyai peluang mengalaminya secara real asam-garam politik rakyat itu sendiri. Apa yang wujud pada masa itu adalah politik tradisional berpaksikan istana kerana sultanlah yang menjadi ketua kepada semua rakyat jelata. Hanya pada era pra-Kemerdekaan, pada pandangan penulis, politik itu datang kepada orang Melayu dan politik itu sendiri sedikit demi sedikit menghablurkan kengkangan politik dari sistem lama melalui sistem baharu, yang didatangkan modelnya daripada Barat.

Kalau ditimbulkan pertanyaan bagaimana dengan pejuang sepeti Dato’ Maharajalela, Tok Janggut dan Dato’ Bahaman dan sebagainya. Kita boleh berpandangan pada masa itu pejuang kemerdekaan ini belum melihat perjuangan mereka itu adalah bersifat politik. Memang wujud semacam bayangan tindakan daripada kerangka politik itu sendiri, iaitu pembebasan penjajahan dan anti-penjajahan serta tidak mahu bangsa asing mengambilalih pentadbiran. Pejuang-pejuang ini tidak mahu cukai, pengurusan pentadbiran negeri dan kuasa raja-raja dimonopoli penjajah – tetapi hakikatnya, di sini politik itu tidak terserlah lebih jauh, kerana semangat melawan penjajah itu yang jauh mengungguli perjuangan para pejuang kemerdekaan pada masa itu.

Pada masa itu, semacam belum ada pemikiran mahu menguasai ilmu politik dan kuasa politik itu sendiri untuk membolehkan mereka menjadi tuan kepada tanahair ini. Sebab itu orang Melayu berada dalam penjajahan lebih daripada lima ratus tahun, disebabkan orang Melayu tidak mempunyai kehendak politik yang nekad seperti mana yang dimiliki oleh bangsa asing yang tekad menjajah – kerana fundamental imprealisme itu berlaku bertolak daripada wujudnya idea dan kehendak politik dalam pemikiran mereka.

Justeru, orang Melayu pada awal abad-19, pemikiran politik tradisi yang ada pada mereka berupa satu kerencatan kepada pembaharuan dan pembangunan orang Melayu lantaran terdapat pembentukan sangkar minda politik yang dibina secara psikologi dan sosial dengan kehadiran penjajah. Ini mungkin berlaku di India, Indonesia dan negara-negara lain yang terjajah. Orang Barat pula pada masa itu sudah bersedia lebih daripada sepatutnya pengetahuan berkaitan politik dan antaranya yang paling berjaya dilaksanakan ialah apa yang boleh disebut sebagai politik imprealisme. Barangkali ketika bangsa Barat berfikir tentang penjajahan melalui politik, orang Melayu baharu mengenal belahan dunia yang ada di luar. Orang Melayu baru mengerti tentang ekonomi ‘moden’ walaupun dari segi kebudayaan dan etika – orang Melayu Nusantara cukup kaya dan mewah dengan hasil persuratan ilmu, pelayaran dan pemikiran sastera yang sehingga ke hari ini belum habis dikaji. Malah melalui pendidikan ketika zaman penjajahan, orang Melayu tidak berpeluang untuk menimba sesuatu yang besar dan melansungkan ‘sifat berdikari’ bagi diri atau bangsa mereka. Skala ruang dan peluang itu dikecilkan kerana status sebagai bangsa yang berada dalam kelas penjajahan.

Idea dan pengalaman politik orang Melayu hanya berlaku dan berkesan apabila wujudnya fahaman pemikiran dari Timur Tengah yang memulakan penentangan terhadap Barat dan penjajahan melalui cara yang formal, walaupun belum ada sistem politiknya yang mandiri. Sudah ada pada masa itu pengarang-pengarang, pemikir-pemikir dan orang agama menceburkan diri dalam masyarakat dan memasyarakatkan politik dengan cara yang pelbagai. Penerbitan suratkhabar seperti Al-Imam misalnya, satu daripada pemulaan untuk membangkitkan peribumi bagi menentang penjajah yang melanda di negara-negara Timur Tengah sampai ke Nusantara. Seruan memperbetulkan pemikiran dan sikap, merupakan salah satu daripada pendidikan politik yang berlaku secara tidak lansung, dan memberikan keyakinan kepada bangsa peribumi untuk melawan penjajahan dengan secara menolak ideologi penjajahan yang hanya mahu memonapoli kekayaan di bumi dan menyekat kebangkitan bangsa daripada menjadi pemerintah.

Tetapi episod sejarah ini bergerak lamban, hanya selepas daripada tertubuhnya pelbagai pertubuhan antara PKMM, API, AWAS dan lain-lain yang dikatakan daripada gerakan politik kiri, (selepas mendapat pengaruh daripada perjuangan Kemerdekaan di Indonesia) barulah orang Melayu didedahkan dengan politik yang lebih jelas. Apabila UMNO ditubuhkan dengan usaha Dato Onn Jaafar, yang mana menjadi parti politik yang paling ramai dipersetujui pada ketika itu bagi menentang Malayan Union, orang Melayu semakin disedarkan dengan perkataan politik, dan kengkangan yang wujud sebelum ini mulai hilang. UMNO dipercayai sebagai penerus kepada kesedaran politik menentang imprealisme kepada kewujudan instituisi pentadbiran di bawah peribumi selepas daripada Kemerdekaan.

Pelajaran politik orang Melayu pada masa itu cukup besar kerana dengan politik, kuasa memerintah negara boleh beralihtangan kepada anak peribumi, yang mungkin sebelum abad ke-19 dan ke-20, untuk memerintah negara sendiri adalah mustahil dan hanya mimpi sahaja. Pengaruh politik dalam kehidupan orang Melayu makin meluas nyata. Peluang berpolitik semakin rencam dan menampakkan demokrasi. Orang Melayu tidak segan-silu dengan penglibatannya dalam politik sama ada UMNO atau bukan kerajaan. Malah sebelumnya, dengan adanya istilah ‘gerakan kiri’ orang Melayu lebih menghayati maksud perjuangan politik yang tulus sifatnya. Sungguhpun gerakan kiri ini tidak berjaya mendapatkan Kemerdekaan bagai Tanah Melayu seperti yang dilakukan oleh UMNO daripada penjajah British, tetapi perjuangan itu disambung bagi membela nasib rakyat di akar umbi. UMNO tidak semestinya baik dalam semua perkara. Maka dengan adanya parti-parti politik Melayu lain, ia akan menambahkan viarasi suara dan pandangan dalam pemerintahan sendiri di awal sejarah Kemerdekaan. Kuasa politik di tangan orang Melayu lebih besar dan berpengaruh. Tetapi untuk mencari pengaruh yang lebih akrab, UMNO bersama dengan parti bukan Melayu seperi MIC dan MCA. Kesedaran tentang politik majmuk ini setakat tidak begitu nyata, hanya bersama dalam Perikatan. Kerana sikap atau aliran politik perkauman masih pekat seperti yang dapat dilihat daripada pembentukan parti-parti politik berasaskan senstiviti perkauman. Maka dalam peristiwa 13 Mei misalnya merupakan manifestasi daripada situasi ketaksamaan dalam kemajmukan atau perbezaan yang ketara dari pelbagai segi, menyebabkan tragedi itu terjadi dan meninggalkan kesan yang amat dalam dalam sejarah. Sehingga parti-parti politik umumnya dibentuk daripada kaum-kaum sebangsa.

Cuma dalam pengamatan untuk politik mutakhir, sudah berlakunya perubahan pemikiran tentang stigma politik perkauman ini. Sudah ada tanda-tanda penerimaan sesuatu kaum terhadap kaum yang lain, seperti yang ditunjukkan dalam beberapa siri pilihanraya yang baru-baru ini. Sokongan terhadap kaum sudah semakin kurang, malah ada petunjuk rakyat yang bukan Melayu mengundi pemimpin Melayu dan begitulah sebaliknya. Walaupun masih ‘baharu’ sifatnya, tetapi ini petunjuk kepada positif yang mana rakyat semakin akur dengan wacana atau idea perpaduan khususnya dalam politik. Tidak ada perbezaan perkauman dalam menentukan sesebuah keputusan politik, kerana setiap yang berhak sepatutnya boleh mendapatkan haknya. Tidak ada lagi perbezaan kaum dan bangsa dalam menilai antara maksud politik dan pilihan rakyat.

Mungkin ramai tidak menyedari, apakah signifikannya Pas yang dahulunya hanya disertai oleh orang Melayu sahaja, tetapi hari ini telah memiliki Kelab Penyokong Pas terdiri daripada kaum India dan Cina. Hal ini tidak mudah dibaca secara munasabah dari pengalaman politik lama yang barangkali juga kesan daripada pelbagai faktor sosio budaya, pendidikan dan lain-lain. Tetapi hal ini sudah menunjukkan suatu petanda yang nyata tentang penerimaan kaum terhadap kaum yang lain dalam arena politik, tanpa mengira batasan streotaip lagi. Justeru, slogan Satu Malaysia yang diwar-warkan itu, berupa satu daripada kesan perubahan sikap atau norma politik yang boleh dikatakan semakin berkesan dan meluas di kalangan rakyat. Dan pernah dahulu dikata parti KeAdiLan, tidak akan lama umurnya disebabkan penubuhannya bersabit sebab tertentu, tetapi pada kala ini mendapat liputan dan penerimaan daripada pelbagai kaum yang boleh dikatakan memberansangkan. Umum mengetahui parti tersebut yang juga komponen dalam Pakatan Rakyat DAP-Pas, terdiri daripada pelbagai kaum dan pemimpinnya juga daripada pelbagai kaum. Ini satu petunjuk bahawa politik perkauman semakin lama, dianggap satu idea politik yang karat dan tidak lagi relevan. Malah sudah ada senario yang menunjukkan penerima pelbagai kaum itu lebih baik sehingga mengabsahkan Satu Malaysia pada masa kini sebagai formula daripada pihak UMNO kepada semua rakyat, dengan, menyakinkan agenda baharu untuk seluruh rakyat di negara ini.

Mingguan Wasilah, 7-13 Jun 2009
.

3.6.09

malas menulis

Sehari dua ini, rupanya saya bercuti sungguh-sungguh. Mana tidaknya, saya hanya membaca buku dan berehat seperti orang malas bekerja. Saya tetap menulis, tapi tidak produktif. Agaknya jika dihitung dengan jumlah tidur saya dengan jumlah saya menulis - jauh sangat.

Berfikir untuk menulis sahaja sebenarnya tidak berapa penting. Lebih penting kita terus menulis di komputer atau kertas, dan berhasil. Itu yang dikatakan hasil kerja. Saya mungkin hanya membaca dalam beberap hari ini. Lagi pula pembacaan tidak pula mendalam dan bersungguh-sungguh. Saya risau juga sebenarnya.

Pagi tadi saya membeli tiga majalah Dewan. Salah satunya Dewan Sastera yang memang tiap bulan saya dapatkan. Dewan Sastera sendiri tidak mengasah pemikiran untuk menulis dan ghairah menaip perkataan-perkataan menjadi tulisan yang boleh dibaca. Saya tidak cemburu dengan karya apapun keluar dalam Dewan Sastera. Cuma seronok membaca tulisan Muhammad Hj Salleh tentang gurunya. Dan tulisan Dr Mawar yang pada saya menarik. Mungkin cerpen Faisal Tehrani yang baik dikatakan cerpen yang ada unsur sastera Islami.

Saya cuba menulis, menyambung kebanyakkan cerpen saya yang tersangkut di tengah jalan. Perenggan demi perenggan, lalu berhenti. Culas itu di tangan saya atau di kepala saya, entah di mana - tak dapat saya pasti kan. Saya hanya membaca dan membaca buku-buku baharu didapatkan dari kedai - sangat menarik saya kira, tetapi nampaknya banyak pula koleksi buku yang belum saya baca. Entah bila....

Pagi tadi, saya ke supermarket yang sebelum ini, saya beli sebuah buku catatan 200 muka surat. Buku Catatan personal itu yang ada berkulit hitam tapi nipis itu, bukan untuk menulis diari tetapi menulis sajak-sajak saya. Ternyata saya selesa benar menulis sajak atas kertas. Saya jarang menulis saya di komputer. Kebanyakkannya dikumpul dan ditulis dengan dakwat basah hitam. Yang bulan Febuari telah selesai dan penuh dengan tulisan, hanya mungkin beberapa muka surat tertinggal kosong kerana sebab tertentu.

Kini saya beli lagi dua buah. Saya bayangkan untuk menulis sajak lagi. Tentulah tarikh permulaan buku catatan personal itu bulan Jun. Saya senang menulis sajak cara ini. Tapi masalah cerpen yang saya tulis tangan, culas ditaip komputer. Dan yang sudah sedia separuh, malas hendak disiapkan. Saya berasa hairan, kenapa pada hari cuti persekolahan sebegini begitu memalaskan diri ini untuk menulis.

.

2.6.09

Is Qur'an God's Word? - Dr. Zakir Naik part 22-23

1.6.09

Mitos Untuk Mangsa Duit


‘Duit’ pada hari tidak berapa disebut secara lansung. Jarang sekali seorang itu menyebut duit tanpa benar-benar melihat kesesuaiannya. Perkataan duit pada hari adalah simbol bagi harta, insuran, pelaburan, royalti dan sebagainya. Maka duit tidak lagi begitu dizahirkan dalam perkataan. Kalau memang dididik sedemikian rupa secara tidak lansung dalam masyarakat boleh menjadikan cara dan satu faham daklam hidup.

Namun citra duit tetap unggul bagi setiap manusia. Duit melambangkan kesenangan dan kemungkinan untuk memiliki sesuatu. Hakikat yang tidak perlu diperjelaskan, untuk mendapat sesuatu yang kecil sekalipun berbentuk perkhidmatan tidak akan ditunaikan melainkan melalui duit.

Dominasi duit kian ketara dalam kehidupan moden sekarang. Apabila melihat kehidupan hari ia lebih nyata dan tidak ada perkara yang diberi percuma. Usaha seseorang itu akan menjadikan angka hasil seorang. Walaupun dengan kurang pelajaran misalannya tapi seorang itu boleh saja mendapat wang dengan berbagai cara antaranya……

Duit melambangkan status bagi setiap keadaan di dunia ini. Duit melambangkan kuasa. Duit melambangkan kebijaksaan. Lantas perjuangan yang tidak diasaskan kepada duit adalah satu perjuangan yang lansung tidak masuk akal pada hari ini. Itu bukan perjuangan namanya.

Maka dalam konteks hari amat susah menerima sesuatu perkara sekiranya tidak ada perantaranya; duit. Saya kira kita tidak perlu pergi jauh kerana rata-rata, tidak kira kampung atau bandar, nilai duit di mata manusia adalah sama. Saya tidak bercakap tentang nilai tetapi realiti kehidupan masyarakat kita.

Tiada duit tiada urusan. Selanjutnya duit bukan hanya tentang manusia tetapi melibatkan semua benda di dunia ini. Saya tidak perasan dan terfikri betapa memang dunia satu bentuk yang begitu ajaib sekali.

Duit merupakan salah satu keajaiban manusia yang sebenarnya. Dahulu kerana terlalu melihat masa depan maka dianjurkan rakyat untuk menabung demi masa hadpaan. Maka amalan ini begitu baik dan disambut baik oleh masyarakat setempat.

Tetapi kerana duit juga manusia hilang pertimbangan dan kewarasan. Manusia bertukar wajah menjadi seorang yang tamak dan begitu berkehendak sehingga ia menjadi tidak seperti keadaan yang normal. Perubahan mendadak berlaku dan ia menjelmakan keinginan yang meluap-luap dalam diri.

Semacam Firauan dan Qarun yang disebut dalam Al-Quran yang menjadi iktibar bagi manusia. kisah mereka berdua satu hujah di mana harta bukan segala-galanya dan dengan harta manusia boleh lupa daratan.

Maka rasukan duit satu hal yang dilihat begitu mengerunkan. Manakan tidak, seorang itu boleh saja berubah sifatnya menjadi seorang yang begitu aktif dan tampak hebat kerana duit.
Oleh itu masyarakat kita seharusnya arif tentang duit yang begitu memabukkan dan mengalpakan. Bila isu tentang gores dan menang keluar di media masaa, timbul juga ceriat perniagaan Multi Level Marketing (MLM) dan yang terbaharu kisah pelaburan dalam internet maka apa yang dapat disimpulkan semuanya mempunyai kaitan rapat dengan subjek dan kata kunci duit.

Seperti yang ditunjukkan apa yang dikhabarkan itu semua contoh-contoh tentang duit yang mana boleh mengugatkan iman dan fikiran waras masyarakat kita. Soalnya bukan masalah duit lagi tetapi tentang sikap dan diri manusia itu sendiri.

Disebut dalam al-Quran “sesunggunya manusia itu lemah”. Kelemahan manusia ini telah menjadi tetap dan disebut berulangkali dalam Al-Quran. Sama ada secara sedar atau tidak manusia selalunya lupa dengan diri mereka dan apa yang berlaku pada diri mereka.

Kelemahan manusia yang dikaitkan di sini tidak lain adalah kecenderungan terhadap material. Tidak ada sesiapapun manusia yang menafikan fakta ini kerana saban hari kelihatan ada saja di sana sini pembangunan yang dilakukan.

Belum ada fakta menunjukkan manusia menolak pembangunan seratus peratus yang diadakan. Sifat manusia berhajatkan kepada pembangunan supaya dengan segala apa yang dibangunkan dapat digunakan untuk mencari keselesaan yang lebih baik. Malah ada juga untuk kesenangan yang lebih maksima.

Tetapi ia membangun di atas kelemahan manusia itu sendiri yang mula-mula hanya mahukan sekeping tanah, kemudian seekar tanah dan akhirnya berpuluh ribu ekar tanah. Keinginan itu sentiasa ada dan menjadi makin besar dan meluas.

Kehendak telah ada dan tinggal lagi kuasa untuk memperdaya belum cukup kuat. Dengan kata-kata manis dan dnegan cara layanan yang begitu mesra, jiwa yang keras boleh dilembutkan. Hati tertawan pada kata-kata yang menyakinkan. Seumpamanya ting kosong yang bunyinya kuat tapi dalamnya kosong. Dengan hanya mengikut kata-kata itu sedikit wang diberikan. Manusia memang selalu hendak dihargai dan dimaniskan katanya. Lalu manusia berani mencuba sedangkan tiada apa yang bermakna. Hal inilah yang berlaku terhadap masyarakat apabila berhadapan dengan ‘pengail-pengail ikan yang besar’.

Begitu sifat yang digambarkan melalui kisah Firaun dan Qarun. Peringkat permulaan sentiasa berhati-hati dengan semua yang mereka hadapi tapi kesenangan yang bertambah membuatkan mereka luap dan kemuncaknya menjadi insane yang ingkar kepada peraturan dan perintah Allah Taala.

Sifat buruk ini bermula daripada satu titik kecil dan menjadi besar selepas merasai bahawa apa yang dilakukan adalah begitu membanggakan dan memuaskan perasaan. Kisah orang yang tamak di zaman moden sedikit berbeza dan lain pula dorongannya. Mungkin cara hidup yang tidak berapa menyenangkan dan menghairahkan. Ada saja keperluan yang dir askan belum mancukupi. Belum banyak perkara yang dihasrat tertunai maka jalan yang baik adalah menerima cara yang belum diketahui akan memberi manafaat kepada dirinya.

Duit bukan persoalannya tetapi diri sendiri yang kuat menolak untuk mencuba. Selepas mencuba dan merasakan ia berbaloi buat masa itu; tidak kira dari segi fizikal atau psikologinya, lalu diteruskan dengan mencuba.

Duit bukan persoalan kerana yang lebih penting adalah keinginan yang mesti ditunaikan. Ia seperti satu permainan yang mendatangkan ganjaran yang lumayan. Paling tidak ia memuaskan psikologi. Siapa boleh menolak godaan sebuah pelaburan yang pulangannya berganda-ganda. Sesiapa yang boleh menolak kalau ada tuah di sebalik mengores sekeping kertas.

Ini semua cerita tentang manusia yang lupa tentang kehidupan mereka yang sederhana tetapi bermimpi menjadi kaya dengan sekelip mata. Ia mimpi serorang Mat Jenin yang berharap akan menjadi kaya dnegan hanya melaburkan wangnya yang sedikit untuk mendapat untung besar. Sekurang-kurangnya Mat Jenin hanya bermimpi tapi tidak melakukan sesuatu yang memudartkan dirinya.

Lalu di sinilah dapat dilihat sikap orang kita yang masyarakat yang memiliki sejumlah wang tetapi tidak disalurkan ke tempat yang patut. Ada harapan tetapi dihancurkan dengan kata-kata kosong oleh seorang penjual barangan yang tidak mempunyai harga yang banyak.

Mitos Keuntungan Berlipat-Ganda

Daripada dahulu kes seperti ini telah mengakar. Apakah masyarakat kita belum sedar dan tidak mahu belajar daripada keadaan masa lampau. Sebenarnya orang yang mengadakan penipuan ini berfikir panjang dan begitu licik merancang untuk menjerat golongan yang berhasrat untuk memiliki wang dengan jalan cara mudah. Mereka melihat manusia sebenanrya tidak kalis daripada dorongan untuk memiliki wang lebih-lebih lagi dengan jalan cara mudah.

Wang atas angin ini tentu boleh menarik orang yang berpendapatan sederhana secara khususnya. Apa yang perlu dilakukan adalah memulakan daripada seorang dan lalu disebarkan dengan kawan. Berita boleh disampaikan melalui ‘dari mulut ke mulut’, ternyata lebih efektif.

Setelah itu mitos harus disebut pada setiap kali berjumpa dengan mereka yang berminat. Apa yang perlu diberitahu bahawa apa sebenarnya kehendak manusia terhadap duit. Kedua, peluang iaitu tidak semua pelaburan mampu menawarkan peluang sebegini tinggi. Ketiga, setiap pelaburan masti melalui tempoh dan ia mesti megikut tempoh yang ditetapkan. Keempat, risiko, setiap yang perlaburan dan perniagaan tidak dapat mengelak daripada risiko.

Keempat-empat perkara ini biasanya da pada setiap pelaburan bentuk ini. Hampir kesemuanya serupa cuba berbeza segi pendekatan dan pegolahan. Jika pelaburan berkaitan dengan barnagan di luar maka lainlah pula ceritanya.

Mereka yang mencubanya sebenarnya tidak memikirkan secara dalam hal sedemikian.
Daripada apa yang diberitakan bahawa web site yang berkaitan dengan pelaburan internet ini kononnnya akan memberikan pulangan tetap. Namun sebenarnya hanya mengaburi mereka yang suka pelaburan yang mendatangkan cepat segi keuntungannya.

Wang yang dilaburkan bukan sedikit malahan mencapai angka billion ringgit. Wang itu dikatakan akan berganda dan beranak bila sampai pada masa yang ditetapkan. Namun daripada logiknya entah bagaimana bentuk perniagaan ini mampu menarik pelabur-pelabur yang ghairah itu sedangkan banyak yang boleh dipertikaikan.

Mengapa pendek benar pertimbangan masyarakat kita terhadap pelaburan yang suka mengambil kesempatan ini. Mengapa pandangan masyarakat kita menjadi kabur apabila melihat keuntungan yang dijanjikan berganda-ganda.

Di mana logik akal dan kemunasabahan akal sebilangan masyarakat yang terjebak dengan situasi ini. Maka pokok pangkalnya adalah disebabkan sikap yang tidak berhati-hati dan terburu-buru untuk mendapat sesuatu.

Sikap membelakangkan pertimbangan dan susah untuk menolak ‘tawaran’ lantaran dalam diri telah berkobar-kobar rasa ingin memiliki tanpa meliaht baik buruk sesautu perlaburan atau perniagaan. Barangkali boleh diselidiki golongan yang bgaimana yangs selalu terjebak dengan sindiket penipuan berasaskan pelaburan ini.
:) koleksi tulisan lama. Maaf jika beberapa perkara dalam tulisan ini tidak relevan lagi.
.